KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan sentimen berhati-hati dengan perkembangan politik di negara ini serta sejajar dengan pasaran serantau.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.62 mata kepada 1,517.62 daripada 1,525.24 semasa ditutup pada Rabu.
Saham pandu pasaran, yang dibuka rendah 0.56 mata kepada 1,524.68, turun naik antara 1,517.27 dan 1,524.68 pada sesi tersebut.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 511 berbanding 312, manakala 431 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.0 bilion unit bernilai RM967.78 juta.
Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata ekuiti Asia merosot pada Khamis, mencerminkan penurunan di Wall Street apabila saham menerima tekanan pada akhir dagangan susulan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan.
“Walaupun minit itu dilihat sebagai menyokong kadar faedah rendah, didapati kebanyakan penggubal dasar Rizab Persekutuan AS menilainya bahawa ia mungkin sesuai untuk mula dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam nota hari ini.
Daripada saham wajaran tinggi, Axiata meningkat dua sen kepada RM3.91, IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.79, Maybank merosot empat sen kepada RM8.10, Public Bank susut dua sen kepada RM3.92, Petronas Chemicals berkurangan satu sen kepada RM7.98 dan TNB merosot tujuh sen kepada RM9.82.
Dalam kalangan saham aktif, Avillion naik satu sen kepada 20 sen, Destini meningkat 1.5 sen kepada 18 sen, Priceworth menambah setengah sen kepada 1.5 sen, Kanger International tidak berubah pada enam sen dan Advance Synergy merosot 2.5 sen kepada 17 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 44.21 mata kepada 11,103.75, Indeks FBMT 100 jatuh 46.77 mata kepada 10,817.48, FBM 70 berkurangan 33.63 mata kepada 14,593.72, Indeks FBM Emas Shariah merosot 46.57 mata kepada 12,216.18 dan FBM ACE susut 3.93 mata kepada 7,108.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 51.17 mata kepada 14,807.86, Indeks Perladangan naik 11.28 mata kepada 6,405.14 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.81 mata kepada 189.79.
— BERNAMA

