KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Unit milik tidak langsung Revenue Group Bhd, Next Revenue Sdn Bhd telah memeterai dua perjanjian jual beli bersyarat dengan Starplus Corporation Sdn Bhd untuk memperoleh dua petak tanah di ibu negara pada harga RM44 juta.
Next Revenue adalah subsidiari milik penuh Revenue Harvest Sdn Bhd dan anak syarikat milik penuh tidak langsung Revenue Group.
Revenue Group dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan pembelian pertama merangkumi dua petak tanah pegangan pajak berserta bangunan bernilai RM24.50 juta (Land One), manakala pemerolehan kedua melibatkan dua petak tanah pegangan pajak bersama bangunan dengan harga RM19.50 juta (Land Two).
Kedua-dua simpanan tanah itu bertempat di Mukim Batu, Kuala Lumpur.
“Cadangan pengambilalihan ini membentangkan peluang kepada Revenue untuk memperoleh harta tanah yang strategik, yang akan memungkinkan kumpulan bagi mengembang, menyatukan dan menempatkan pasukan pentadbiran, operasi dan teknikal anak syarikatnya di bawah satu bumbung untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, kumpulan mahu mengubah Land One menjadi projek campuran yang terdiri daripada pejabat serta gudang dengan fokus untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan ekosistem e-dagang, seperti fasiliti penyimpanan, hab logistik, pejabat serta pusat operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk PKS mikro,” katanya.
Kumpulan juga berhasrat untuk mengubah Land Two menjadi konsep dan struktur yang serupa sebagai sebahagian daripada pengembangan masa depan.
“Setelah menyelesaikan pembangunan Land One dan/atau Land Two, kumpulan akan menghentikan penyewaan pejabat lain di Lembah Klang dan memindahkannya ke premis baharu ini.
“Kumpulan juga berhasrat untuk menukar ibu pejabat sedia ada menjadi Pusat Pemulihan Bencana sebagai sebahagian daripada Pelan Kesinambungan Perniagaannya yang akan berfungsi sebagai pusat sokongan kepada infrastruktur teknologi dan pusat datanya,” kata kumpulan itu.
— BERNAMA




