KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia mencatatkan dagangan yang tinggi untuk mengakhiri sesi awal dagangan hari ini, dirangsang oleh kegiatan membeli saham berharga murah.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 15.0 mata kepada 1,517.90 berbanding 1,502.90 pada penutupan urus niaga Isnin.
Indeks utama dibuka 2.37 mata lebih tinggi, bergerak pada paras rendah seharian 1,505.27 dan mencecah paras tertinggi seharian 1,520.37 pada sesi pagi.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 545 berbanding 316 manakala 398 kaunter tidak berubah, 941 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah 2.11 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata sementara sentimen pelabur dijangka terus gelisah berikutan kemelut pandemik COVID-19 yang berterusan, tumpuan akan diberikan pada musim pengumuman pendapatan korporat yang akan datang.
“Sektor bertemakan pemulihan masih lagi menjadi perhatian susulan pembukaan semula lebih banyak sektor tidak perlu (non-essential).
“Kami melihat sektor berkaitan pengguna, bahan binaan dan pembinaan semakin mendapat tempat. Selain itu, sektor perladangan mungkin mendapat daya tarikan berikutan harga minyak sawit mentah yang terus mengukuh, ” katanya dalam catatan penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.11, Public Bank meningkat satu sen kepada RM3.94, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM7.98, TNB melonjak 14 sen kepada RM9.89, CIMB lebih tinggi 10 sen kepada RM4.61 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.78.
Bagi saham aktif, KNM naik setengah sen kepada 22.5 sen, Tanco dan TFP Solutions masing-masing menokok satu sen pada 22.5 sen dan 21.5 sen, sementara Fintec tidak berubah pada 2.5 sen, dan Avillion turun 1.5 sen kepada 19.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas 86.02 mata lebih tinggi pada 11,086.43, Indeks FBMT 100 naik 86.90 mata kepada 10,804.56, FBM 70 menambah 39.36 mata kepada 14,518.26, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 95.88 mata kepada 12,176.58, dan FBM ACE mengembang 38.29 mata kepada 7,127.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 96.71 mata kepada 14,828.38, Indeks Perladangan menambah 61.30 mata kepada 6,308.53, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.54 mata kepada 189.47.
– BERNAMA

