KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia terus mencatatkan dagangan rendah pada sesi tengah hari kerana sentimen pasaran kekal lemah berikutan perkembangan politik semasa dalam negara.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.45 mata kepada 1,496.66 daripada 1,505.11 pada penutupan Jumaat minggu lepas.
Indeks utama yang dibuka 5.19 mata lebih lemah pada 1,499.92, bergerak antara 1,494.05 dan 1,500.04 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi saham untung dengan jurang yang besar iaitu 765 berbalas 189 manakala 338 kaunter tidak berubah, 919 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah 2.76 bilion unit bernilai RM1.18 bilion.
Rakuten Trade berkata FBMKLCI berpotensi untuk menguji tahap rendah tahun ini pada 1,490 hari ini kerana bursa tempatan dijangka menyaksikan tindak balas spontan daripada perkembangan politik dalam negara.
“Ini mungkin menimbulkan lebih banyak ketidakpastian kepada pasaran dalam jangka masa terdekat kerana kami menjangkakan kemunculan penjual.
“Walaupun terdapatnya kegiatan membeli ketika harga saham murah, kami masih melihat indeks turun ke paras rendah sekitar 1,485-1,500 hari ini,’’ katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, TNB naik tiga sen kepada RM9.69, IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.80, Maybank turun satu sen kepada RM8.04, Public Bank dan CIMB masing-masing dua sen lebih rendah pada RM3.92 dan RM4.58, sementara Press Metal dan Hong Leong Bank menyusut enam sen, masing-masing kepada RM4.94 dan RM18.16.
Bagi saham aktif, Avillion meningkat 1.5 sen kepada 20.5 sen, KNM dan Advanced Synergy masing-masing naik setengah sen kepada 21.5 sen dan 17.5 sen, sementara Impiana Hotels tidak berubah pada tujuh sen, Dagang Nexchange turun 3.5 sen kepada 75 sen dan TA Win satu sen lebih rendah pada 15 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 78.68 mata pada 10,936.34, Indeks FBMT 100 susut 74.23 mata kepada 10,657.50, FBM 70 menyusut 154.77 mata kepada 14,336.54, Indeks FBM Emas Syariah kerugian 103.49 mata kepada 11,987.72, dan FBM ACE berkurangan 91.84 mata kepada 7,047.94.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 61.87 mata kepada 14,721.23, Indeks Perladangan merosot 12.33 mata kepada 6,201.08, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 2.07 mata kepada 186.95.
– BERNAMA

