KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia diniagakan rendah apabila mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung di kaunter produk pengguna dan perkhidmatan terpilih, kata para peniaga.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.53 mata kepada 1,501.91 daripada 1,504.44 pada penutupan urus niaga Rabu.
Indeks utama yang dibuka 0.85 mata lebih tinggi pada 1,505.29, bergerak antara 1,497.18 dan 1,505.29 di sepanjang sesi awal.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 513 berbalas 323 manakala 429 kaunter tidak berubah, 949 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah 1.90 bilion unit bernilai RM1.19 bilion.
Menurut Rakuten Trade dalam nota penyelidikan, FBM KLCI dijangka kekal berada melepasi paras 1,500 hari ini kerana indeks telah mencecah angka 1,500 pada hari Rabu.
“Ramai yang menantikan pembukaan semula ekonomi dan tidak sabar menunggu pengumuman kerajaan. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam lingkungan 1,500-1,510,” katanya.
Sementara itu, Rakuten berkata Wall Street ditutup kebanyakan tinggi kerana inflasi mencatatkan angka yang lebih rendah daripada jangkaan dengan Purata Indeks Dow Jones dan S&P 500 merekodkan penutupan tertinggi sementara Nasdaq kerugian kerana aktiviti pengambilan untung.
“Oleh itu, kami menjangkakan perdagangan antara pasaran serantau akan kekal bercampur-campur hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan TNB masing-masing turun 2.0 sen kepada RM8.01, RM3.94, RM7.99 dan RM9.71, sementara IHH Healthcare susut 1.0 sen kepada RM5.81.
Bagi saham aktif, Dagang Nexchange, Daya Materials dan BCM Alliance masing-masing tidak berubah pada 81.5 sen, 1.5 sen dan 16.5 sen, sementara Serba Dinamik menambah 1.5 sen kepada 41.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 16.99 mata pada 11,019.15, Indeks FBMT 100 susut 17.11 mata kepada 10,736.02, FBM 70 lebih rendah 19.30 mata kepada 14,602.82, Indeks FBM Emas Syariah merosot 10.35 mata kepada 12,109.20 dan FBM ACE berkurangan 8.04 mata kepada 7,134.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 27.75 mata kepada 14,763.27, Indeks Perladangan lebih rendah 32.76 mata menjadi 6,114.84, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.93 mata kepada 188.36.
— BERNAMA

