KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — AirAsia Group Bhd (AAGB) telah meraih hasil kasar sebanyak US $56.83 juta (US$1 = RM.4.21) daripada penggabungan antara Fly Leasing Ltd dan Carlyle Aviation Partners.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataannya hari ini menjelaskan ia telah memperoleh 3.33 juta saham-saham Fly Leasing pada 30 Ogos 2018 sebagai sebahagian daripada pertimbangan tunai membabitkan nyahlabur operasi pajakan pesawat AAGB yang dikendalikan oleh Asia Aviation Capital Ltd kepada entiti yang diuruskan oleh BBAM Ltd Partnership.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata urus niaga itu merupakan lonjakan yang amat positif kepada strategi pengumpulan dana keseluruhan kumpulan itu, yang merujuk kepada rancangan kumpulan untuk menghimpunkan tunai sehingga RM2.5 bilion melalui gabungan pinjaman dan peningkatan ekuiti.
“Kami telah mengumpulkan RM336.5 juta daripada dua bahagian penempatan tawaran persendirian pada awal tahun ini dan terus melakukan rundingan semula syarat-syarat pajakan dengan semua pemberi pajak kami.
“Kami juga telah melupuskan 32.67 peratus kepentingan kami dalam AirAsia India pada harga US$37.68 juta, menghentikan operasi di Jepun dan menjual enjin gantian yang bernilai lebih daripada US$130 juta,” katanya.
Kumpulan itu mempunyai sejumlah inisiatif pengumpulan dana untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi.
“Kami sedang dalam proses menyelesaikan pinjaman Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin, mengusahakan pinjaman bersandarkan data sehingga mencecah US$350 juta dan mempersiapkan terbitan hak sehingga RM1.02 bilion yang disasarkan untuk selesai pada Desember ini,” katanya.
Beliau ketika bercakap mengenai prospek memberitahu kumpulan itu optimis dengan kemampuannya untuk bertahan daripada kesan wabak yang berterusan, malah yakin, mampu terbang dengan lebih kukuh dalam masa terdekat.
Menurut Fernandes lagi, penerbangan domestik mungkin meningkat secara beransur-ansur menjelang suku ketiga 2021 dan perjalanan antarabangsa akan bermula pada 2022.
Kumpulan itu meramalkan lonjakan dalam penerbangan disebabkan permintaan terkumpul yang besar, disamping kadar vaksinasi yang lebih cepat, ujian yang lebih baik, pendidikan, pengesanan dan dorongan untuk pasport kesihatan digital di semua pasaran utamanya.
“Strategi transformasi digital kami adalah untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan turut mendapat momentum yang kuat di semua perniagaan yang bukan bersifat penerbangan kami.
“Maklumat lanjut mengenai strategi pengumpulan dana AirAsia akan diumumkan apabila sampai waktu,” tambahnya.
— BERNAMA




