KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd pada suku pertama berakhir 30 Jun, 2021 naik kepada RM2.26 bilion daripada RM219.72 juta manakala perolehan meningkat kepada RM3.90 bilion daripada RM920.08 juta.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kuan Mun Leong berkata prestasi pengeluar sarung tangan itu dicapai berikutan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi dan jumlah jualan yang meningkat, walaupun ini sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan harga bahan mentah.
“Melangkah ke hadapan, walaupun purata harga jualan untuk sarung tangan nitril merosot daripada paras tertingginya, permintaan di peringkat global dijangka terus meningkat, terutamanya berikutan varian COVID-19 yang baharu menjejaskan negara-negara di seluruh dunia,” katanya.
Bagi jangka panjang, katanya peningkatan permintaan dalam sektor sarung tangan akan terus memacu pertumbuhan permintaan, didorong oleh peningkatan penggunaan sarung tangan daripada pasaran sedang pesat membangun dengan penggunaan sarung tangan yang rendah per kapita dan peningkatan kesedaran mengenai kebersihan.
Kuan berkata bagi memenuhi pertumbuhan permintaan ini, kumpulan akan meneruskan pelan pengembangannya melalui Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) dan NGC 1.5.
“Setakat ini, lapan daripada 10 barisan di Kilang 7 NGC telah beroperasi.
“Apabila siap sepenuhnya, Kilang 7 akan mempunyai kapasiti pemasangan tahunan sebanyak 2.7 bilion unit,” katanya.
Selain itu, Kuan berkata pembinaan untuk pengembangan yang akan datang, NGC 1.5, sedang dijalankan, dengan barisan pengeluaran pertama disasarkan beroperasi pada Disember 2021.
“Apabila NGC 1.5 siap sepenuhnya, ia akan terdiri daripada empat kemudahan pembuatan menyumbang 19 bilion unit sarung tangan kepada kapasiti pemasangan tahunan kami.
“Dengan pelan pengembangan ini, kapasiti pemasangan tahunan kumpulan dijangka meningkat kepada 63 bilion unit dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.
Kuan berkata syarikat terus melindungi pekerjanya dan memastikan kesinambungan operasi melalui langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang ketat.
Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 di Malaysia, katanya Hartalega telah memulakan inisiatif imunisasi melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
“Setakat ini, lebih 90 peratus daripada pekerja Hartalega termasuk pekerja asing, telah melengkapkan dos pertama vaksinasi, dengan dos kedua disasarkan selesai pada akhir bulan ini,” kata Kuan.
— BERNAMA

