KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini lebih tinggi seiring dengan prestasi bursa serantau yang lain, disokong oleh kegiatan pembelian saham murah yang membabitkan saham berwajaran tinggi.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.71 mata kepada 1,510.67 daripada penutupan hari Rabu iaitu pada paras 1,515.39.
Indeks utama dibuka 0.42 mata lebih rendah pada 1,514.97 dan bergerak antara 1,512.75 dan 1,520.04 di sepanjang sesi pagi.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 425 berbalas 377 manakala 420 kaunter tidak berubah, 999 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.37 bilion unit bernilai RM1.28 billion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka lebih rendah tetapi pulih selepas itu dan kekal positif di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari, mengambil petunjuk daripada prestasi bursa serantau yang lain selepas Rizab Persekutuan mengekalkan pendirian dasar semasa mereka sambil mengakui peningkatan ekonomi AS.
“Bagaimanapun, urus niaga di pasaran tempatan masih bersikap berhati-hati dengan pemulihan dihadkan oleh kebimbangan berterusan mengenai kenaikan jangkitan COVID-19.
“Pelabur juga tetap waspada dengan perkembangan politik semasa pada Sidang Khas Parlimen hari ini,” katanya.
Bagi prestasi bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.49 peratus kepada 3,157.24, Kospi Korea Selatan meningkat 0.05 peratus menjadi 3,238.64, Nikkei 225 Jepun menambah 0.74 peratus kepada 27,786.97 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 2.74 peatus kepada 26,172.31.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.05, Petronas Chemicals menambah 12 sen kepada RM8.11 sementara Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun satu sen kepada RM4.00 dan RM5.79.
TNB tidak berubah pada harga RM9.78.
Bagi saham aktif, PUC menambah satu sen kepada 19 sen, Tanco naik empat sen kepada 20.5 sen, Euro Holdings meningkat 20.5 sen kepada 92 sen, Kanger menokok setengah sen kepada 6.5 sen sementara Solution Group turun 19 sen kepada 71 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.55 mata kepada 11,114.77, Indeks FBMT 100 naik 21.78 mata kepada 10,820.84 dan FBM 70 melonjak 66.76 mata kepada 14,625.73.
Indeks FBM Emas Syariah meningkat 34.22 mata pada 12,231.81 tetapi FBM ACE merosot 7.84 mata kepada 7,232.34.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.87 mata kepada 14,805.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 1.06 mata kepada 189.08 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 21.02 mata kepada 6,191.04.
— BERNAMA

