KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Omesti Bhd, Omesti Holdings Bhd (OHB) bercadang membeli 20,000 saham dalam Bemed Tempua Sdn Bhd (BTSB) pada RM300,000 menerusi perjanjian penjualan saham dengan Bemed Holding Sdn Bhd (BHSB).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat teknologi itu menjelaskan OHB juga bercadang untuk melanggan 400,000 saham dalam BTSB, yang merupakan firma farmaseutikal, pada RM400,000.
Apabila cadangan pembelian dan langganan saham itu selesai, OHB akan memegang 420,000 saham mewakili 70 peratus daripada jumlah saham terbitan yang ditambah dalam BTSB, jelasnya.
Omesti memaklumkan cadangan itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun kalendar 2021.
Dalam kenyataan berasingan, ia menambah, pihaknya telah melancarkan Program Vaccin8 untuk menyediakan perkhidmatan vaksinasi kepada syarikat-syarikat.
“Program itu, ditawarkan oleh Bahagian Penjagaan Kesihatan Omesti, akan menyediakan akses yang selamat dan mudah kepada vaksinasi untuk syarikat Malaysia melindungi para pekerja mereka secepat mungkin selain akan membolehkan perniagaan menyambung operasi lazim mereka.
“Ia diluluskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 dan Kementerian Kesihatan. Program Vaccin8 membolehkan Omesti menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” jelasnya.
Syarikat yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi Omesti menerusi e-mel ke [email protected].
— BERNAMA




