KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Subsidiari milik penuh Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), KAB Smart Solar Energy Sdn Bhd (KSSE) telah menerima tawaran kerja dari Mydin Wholesale Emporium Sdn Bhd dan FT Hose & Hose Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Datuk Lai Keng Onn berkata syarikat itu berharap dapat mewujudkan impak dengan promosi inisiatif ke arah kelestarian melalui Mydin Wholesale Emporium dan FT Hose.
“Kami mahu mengembangkan perniagaan kami dengan pantas dalam bidang penyelesaian tenaga hijau dan menyokong komitmen Malaysia bagi mencapai 20 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam gabungan tenaga negara menjelang 2025.
“Daripada perspektif perniagaan, perjanjian pembelian tenaga (PPA) ini juga bermanfaat untuk kami kerana ia akan memberikan pendapatan berulang jangka panjang yang stabil,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat kejuruteraan elektrik dan mekanikal itu menjelaskan KAB akan memasang sistem solar dengan anggaran kapasiti sebanyak 4.000 kilowatt (kWp) di pusat membeli-belah Mydin yang terbesar di Malaysia, Mydin Mall Tunjong di Kelantan, untuk menghasilkan kira-kira 142 juta kilowatt-jam (kWh) elektrik boleh diperbaharui.
Projek ini diharapkan dapat mengurangkan kos tenaga sekitar RM50 juta dan mengurangkan 33,105 tan pelepasan karbon dioksida selama 25 tahun.
Berdasarkan perjanjian dengan FT Hose – dua sistem solar akan dipasang di Ipoh, Perak masing-masing berkapasiti 521 kWp dan 450 kWp, untuk menjana 32 juta kWh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui, disamping memberi penjimatan bernilai RM15 juta dan meneutralkan 7,460 tan karbon dioksida selama lebih dari 25 tahun.
Kedua-dua projek solar itu dijadualkan untuk mencapai tarikh operasi komersial menjelang suku ketiga 2022.
Sehingga kini, KAB mempunyai pemasangan gabungan kapasiti sistem solar fotovoltan sebanyak 10,463-kWp, yang merangkumi PPA yang ditandatangani dengan Tanaosree Thai Chicken Co Ltd, Aapico PCL dan Roongthavorn Plastic Co Ltd.
— BERNAMA




