KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia meningkat pada ketika mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis berikutan minat belian dalam saham-saham wajaran tinggi terpilih yang didahului oleh Mr DIY dan CIMB.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.91 mata kepada 1,523.43 daripada 1,516.52 pada akhir dagangan Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 2.48 mata kepada 1,519.0 dan bergerak dalam jajaran 1,518.01 hingga 1,525.7 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 560 berbanding 315 manakala 409 kaunter tidak berubah, 960 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 3.10 bilion unit bernilai RM1.52 bilion.
Sementara itu, Rakuten Trade menerusi nota penyelidikannya pada hari ini, menjangkakan prestasi FBM KLCI kekal kurang memberangsangkan berikutan penularan kes COVID-19 di peringkat tempatan selain setimen yang kekal berhati-hati walaupun jumlah dagangan di pasaran secara keseluruhannya telah meningkat semula.
Saham wajaran tinggi, Mr DIY meningkat 13 sen kepada RM3.47, CIMB menambah enam sen kepada RM4.54, Press Metal dan Digi masing-masing naik tujuh sen kepada RM4.87 dan RM4.20 manakala Sime Darby Plantation menokok lapan sen kepada RM3.68 dan Axiata untung empat sen kepada RM3.82.
Bagi saham aktif, Dagang Nexchange meraih 2.5 sen kepada 77.5 sen, JAKS meningkat 3.5 sen kepada 52 sen, Borneo Oil tidak berubah pada tiga sen, Pasukhas dan Kanger masing-masing susut setengah sen kepada 10.5 sen dan tujuh sen dan Saudee turun dua sen kepada 17 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 55.35 mata kepada 11,158.69, Indeks FBMT 100 naik 52.45 mata kepada 10,858.62 manakala FBM ACE meraih 28.92 mata kepada 7,331.79.
Indeks FBM Emas Syariah naik 71.09 mata kepada 12,287.04 dan FBM 70 meningkat 83.29 mata kepada 14,648.22.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 58.89 mata kepada 14,853.13, Indeks Perladangan meraih 47.8 mata kepada 6,221.21 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.37 mata kepada 189.72.
— BERNAMA

