KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Haily Group Bhd (Haily) mula didagangkan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dengan harga 79 sen sekali gus mencatatkan premium 11 sen atau 16.18 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam awal (IPO) 68 sen, pada Rabu.
Pada 12 Julai, syarikat pembinaan berpangkalan di Johor itu menjelaskan bahagian awam IPO iaitu berjumlah 8.92 juta unit saham telah mengalami situasi terlebih langgan sebanyak 38.81 kali.
Ketika pembukaan dagangan di bursa, kaunter itu merekodkan 7.19 juta unit saham didagangkan.
IPO Haily merangkumi 30 juta saham, dan daripada jumlah itu 8.92 juta saham diperuntukkan bagi orang awam Malaysia, 10 juta kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat manakala 11.08 juta kepada pelabur terpilih melalui tawaran persendirian.
Ia menyasar untuk mengumpul RM20.40 juta menerusi langkah IPO itu, dan RM4.20 juta daripada hasil tersebut akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan, perisian perakaunan dan peralatan pejabat serta pengurusan kontrak baharu.
Selain itu RM6 juta diperuntukkan sebagai modal kerja bagi projek pembinaan, RM7 juta bagi tujuan pembayaran balik pinjaman bank dan bakinya sebanyak RM3.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Mohd Jaffar Awang berkata pihaknya merancang untuk terus menumpukan kelebihan utama Haily dalam pembinaan bangunan di Johor di samping memanfaatkan pengalaman untuk memperluas jangkauan ke kawasan lain.
Beliau berkata Haily juga akan dapat memanfaatkan kemampuan sebagai kontraktor Gred G7 yang membolehkannya melaksanakan sebarang saiz projek pembinaan bangunan tanpa mengira nilai kontrak.
“Langkah penyenaraian ini akan membantu kami mempercepat kemajuan untuk mencapai matlamat ini serta membolehkan kami membeli mesin dan peralatan pembinaan baharu dalam jangkaan pertumbuhan bagi masa depan,” katanya semasa majlis penyenaraian saham Haily secara maya pada Rabu.
Mohd Jaffar yakin syarikat itu berada pada kedudukan baik untuk membina masa depan lebih cerah menerusi gabungan kedudukan tunai yang positif, keuntungan yang dijangkakan daripada operasi, jumlah dana yang diberikan menerusi kemudahan perbankan sedia ada serta hasil yang diperoleh daripada IPO.
“Ketika ini kami mempunyai 18 projek pembinaan bangunan dan dua projek pembinaan berkaitan dengan kejuruteraan awam. Keseluruhan nilai kontrak yang diperoleh dan nilai kontrak belum dibil pada 10 Jun, 2021 masing-masing berjumlah RM460.04 juta dan RM249.58 juta,” katanya.
Beliau berkata projek yang sedang dilaksanakan itu dijangka siap dalam tempoh 2021 hingga 2023.
Mengenai dasar dividen, Haily berhasrat mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan tahunan kepada pemegang saham selepas penyenaraian selesai.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Yoong Woei Yeh berkata pihaknya menyasar untuk mengembangkan perniagaan namun menyedari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan telah menyebabkan paras keluaran rendah dan kelewatan pelaksanaan projek.
“Bagaimanapun, kami berusaha mengekalkan kemampanan perniagaan selain langkah kawalan turut diambil bagi pembinaan,” katanya.
Sejak 2008, Haily telah menyiapkan 65 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM1.29 bilion.
— BERNAMA

