KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia berjaya mengekalkan trend menaik pada sesi dagangan tengah hari, didorong oleh sentimen yang semakin baik selepas Malaysia mencatatkan kadar pemberian vaksin COVID-19 tertinggi pada Rabu.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.51 peratus atau 7.82 mata pada 1,520.15 berbanding 1,512.32 pada penutupan urus niaga Rabu.
Indeks utama dibuka 0.25 mata lebih tinggi pagi ini pada 1,512.57 dan bergerak antara 1,511.60 dan 1,521.98 sepanjang sesi urus niaga pagi sehingga tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 533 berbalas 311 manakala 456 kaunter tidak berubah, 928 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 2.78 bilion unit bernilai RM1.55 bilion.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, sebanyak 434,828 dos vaksin COVID-19 telah diberikan semalam.
Berita positif sebegini amat diperlukan dan telah membantu melonjakkan sektor penjagaan kesihatan sebanyak 1.72 peratus atau 47.91 mata kepada 2,827.
IHH Healthcare naik dua sen kepada RM5.66, sementara Top Glove melonjak 16 sen kepada RM3.92.
Di pasaran seberang laut pula, data Pengeluaran Perindustrian dan Penjualan Runcit serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China menunjukkan bacaan yang lebih baik daripada yang dijangkakan.
Bagaimanapun, berita itu tidak mencetuskan sebarang tindak balas daripada pasaran, kata pedagang ActivTrades Anderson Alves.
Beliau menambah kebanyakan pasaran ekuiti Asia pada masa ini diniagakan secara mendatar dengan disokong oleh beberapa kenaikan sederhana di Wall Street.
Sementara itu, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.06, Public Bank tidak berubah pada RM4.07, Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM8.06 dan TNB memperoleh 17 sen kepada RM9.79.
Bagi kaunter paling aktif, Serba Dinamik naik tiga sen kepada 46 sen, Pasukhas turun 3.5 sen kepada 19.5 sen dan YBS menokok empat sen kepada 47.5 sen .
Yenher Holdings yang mula disenaraikan di Pasaran Utama pagi ini, turun satu sen kepada 94 sen. Syarikat ini memulakan penyenaraiannya pada harga 99.5 sen – premium 4.5 sen daripada harga tawaran awal 94 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 53.34 mata pada 11,081.83, Indeks FBMT 100 naik 51.43 mata kepada 10,796.03 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuhkan 68.50 mata kepada 12,144.57.
FBM ACE menambah 11.15 mata kepada 7,116.30 dan FBM 70 naik 52.26 mata kepada 14,410.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 31.09 mata kepada 14,915.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 1.11 mata kepada 187.94 sementara Indeks Perladangan turun 27.45 mata kepada 6,189.88.
— BERNAMA

