KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Unit 51 peratus milik Sedania Innovator Bhd (Sedania), Offspring Inc, kini menembusi pasaran Thailand dan berusaha untuk merekodkan penguasaan pasaran bernilai RM25 juta setiap tahun.
Offspring Inc merupakan syarikat teknologi kesihatan yang menumpukan penyelesaian penjagaan awal kanak-kanak, menawarkan lampin bayi mesra alam, tisu basah bayi boleh biodegradasi dan produk penjagaan rumah yang menggunakan bahan organik, berasaskan tumbuhan dan tanpa toksik.
Dalam kenyataan pada Selasa, Sedania menjelaskan sasaran penguasaan pasaran itu adalah berdasarkan kadar kelahiran yang dicatatkan Thailand iaitu 780,000 setahun.
Susulan pengembangan ke Thailand, Offspring Inc kini menawarkan produknya di 11 negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Brunei, Filipina dan Rusia, tambahnya.
Pengarah Urusan dan Pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata rancangan pengembangan sentiasa menjadi tumpuan utama Offspring Inc dan penembusan ke Thailand memperkukuh lagi pelan pertumbuhan strategik syarikat.
“Thailand dijangka menjadi antara pasaran yang pantas berkembang bagi lampin bayi di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut Euromonitor International, pasaran lampin bayi dunia diunjurkan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pada US$51.53 bilion (US$1=RM4.19) pada 2024.
Beliau berkata angka yang amat besar itu menunjukkan peluang berharga bagi Offspring Inc dan menjangkakan Thailand menjadi negara eksport utama bagi pasaran Asia.
— BERNAMA




