KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi ini lebih rendah kerana pelabur enggan mengambil risiko, dipengaruhi oleh sentimen negatif berpanjangan ekoran daripada perkembangan COVID-19 di dalam negara.
Trend menurun ini boleh dilihat merentasi semua sektor kecuali untuk teknologi, telekomunikasi dan media, produk perkhidmatan dan perkhidmatan yang mencatatkan sedikit keuntungan.
Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 5.64 mata kepada 1,542.67 berbanding 1,548.31 pada penutupan petang Selasa.
Indeks utama dibuka 1.01 mata lebih rendah pada 1,547.30 dan berlegar antara 1,540.97 dan 1,551.95 sepanjang sesi.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 523 berbalas 316 manakala 390 kaunter tidak berubah, 987 tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.39 bilion unit bernilai RM1.14 bilion.
Seorang penganalisis berkata pasaran diheret turun oleh kerugian dalam saham Top Glove dan Hartalega selepas pelabur mengambil kesempatan daripada keuntungan semalam.
Secara keseluruhan, dagangan terus lesu berikutan kekurangan pemangkin baharu untuk menggerakkan pasaran.
“Pelabur turut memantau secara dekat hasil pertemuan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC +) esok,” katanya.
Sebaliknya, pasaran serantau kebanyakannya lebih tinggi dengan pelabur mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman yang positif, menyaksikan Nasdaq dan S&P 500 mencapai tahap penutupan baharu.
Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.33 peratus kepada 3,130.69, Nikkei Jepun mengukuh 0.01 peratus pada 28,814.44 dan Indeks Komposit SSE China menambah 0.24 peratus kepada 3,581.72.
Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi Top Glove dan Hartalega masing-masing turun sembilan sen dan enam sen kepada RM4.21 dan RM7.43, sementara Digi dan IOI, kedua-duanya menyusut lapan sen kepada kepada RM4.20 dan RM3.73.
Sementara itu, PetChem naik lima sen kepada RM8.11 dan CIMB dua sen lebih tinggi pada RM4.63.
Bagi saham aktif, Sedania melonjak 23.5 sen kepada 73.5 sen, Serba Dinamik tidak berubah pada 32 sen, sementara OCR dan Saudee masing-masing menokok 1.5 sen kepada 22 sen dan 20 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 30.63 mata kepada 11,219.03, Indeks FBMT 100 turun 31.62 mata kepada 10,937.62, dan Indeks FBM Emas Syariah 36.10 mata lebih rendah kepada 12,271.83.
FBM ACE turun 15.07 mata kepada 7,062.37 dan FBM 70 lega 9.33 mata pada 14,528.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 33.02 mata kepada 15,118.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.21 mata kepada 187.12, dan Indeks Perladangan jatuh 24.95 mata kepada 6,444.90.
— BERNAMA

