KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah hari ini, diheret turun oleh kegiatan pengambilan untung yang membabitkan kaunter-kaunter seperti pengangkutan dan logistisk, produk perindustrian dan perkhidmatan terpilih, kata para peniaga.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.31 mata kepada 1,571.01 daripada penutupan urus niaga Rabu pada paras 1,578.32.
Indeks utama itu dibuka 0.43 mata lebih tinggi pada 1,578.75 dan berlegar antara 1,568.71 dan 1,578.75 sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Pergerakan harga di pasaran turut negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 573 berbalas 266, sementara 442 kaunter tidak berubah, 884 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 2.28 bilion unit bernilai RM1.36 billion.
Menurut pedagang ActivTrades Anderson Alves, saham Asia menyusut pada Khamis selepas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang menyaksikan dasar Rizab Persekutuan semakin ketat dengan mengunjurkan kenaikan 50 mata asas untuk 2023.
Mengenai pandemik global pula, beliau berkata Jepun telah bersedia untuk menamatkan perintah darurat pada 20 Jun untuk Tokyp dan lapan kawasan lain.
“Sementara itu, peniaga komoditi akan memantau rapat paras harga untuk pasaran semerta dan niaga hadapan selepas Pentadbiran Rizab Nasional China menyatakan republik itu akan mengumumkan rizab negara untuk tembaga, aluminium, dan zink dalam waktu dekat kepada pengeluar bukan besi melalui bidaan awam.
China turut mengarahkan syarikat-syarikat di negara itu menyekat pendedahan komoditi di luar negara,” tambahnya.
Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM8.17, IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM5.68, sementara Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.19, Petronas Chemicals susut 5.0 sen kepada RM8.06 dan TNB merosot 4.0 sen kepada RM9.98.
Bagi saham aktif, MMAG dan KNM masing-masing tidak berubah pada 19 sen dan 20 sen, Censof naik 5.0 sen kepada 52 sen, sementara QES meningkat setengah sen kepada 85.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 44 mata kepada 11,478.65, Indeks FBMT 100 susut 43.85 mata kepada 11,166.52, dan FBM ACE lebih rendah 32.35 mata kepada 7,602.94.
Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 49.98 mata kepada 12,618.32 sementara FBM 70 merosot 27.30 mata kepada 14,941.19.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 40.75 mata kepada 15,267.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.99 mata kepada 191.67 dan Indeks Perladangan susut 29.59 mata kepada 6,503.83.
— BERNAMA

