KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bercadang untuk membeli kepentingan sebanyak 56.2 peratus atau 494.86 juta saham dalam IJM Plantations Bhd (IJMP) daripada IJM Corp Bhd dengan nilai RM1.53 bilion atau pada RM3.10 sesaham.
“Selepas membincangkan mengenai merit tawaran itu, Lembaga Pengarah pada dasarnya bersetuju untuk memuktamadkan terma dan syarat dengan KLK bagi memenuhi masa yang dinyatakan dalam surat tawaran bagi pelaksanaan perjanjian jual dan beli pada atau sebelum 5 petang pada 11 Jun, 2021,” menurut IJM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, dalam surat tawarannya, KLK berkata cadangan pembelian itu akan dibayar secara tunai berdasarkan syarat dan tertakluk kepada syarat draf perjanjian jual dan beli saham itu.
Katanya selain kelulusan daripada Lembaga Pengarah KLK dan IJM, cadangan pembelian itu turut tertakluk kepada, antara lain, pemegang saham IJM dan KLK pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan oleh syarikat masing-masing.
Kebenaran akan turut diperlukan daripada mana-mana pihak berkuasa lain atau pihak lain, di mana perlu, serta pemberi pinjaman IJM dan IJMP, menurut KLK.
“KLK dan IJM akan bekerjasama dan segera mengambil semua langkah yang diperlukan dan menggunakan semua usaha wajar mereka untuk mendapatkan kelulusan dan kebenaran yang mana ia bertanggungjawab untuk mendapatkannya,” katanya.
Saham IJM, yang digantung pada 2.30 petang pada Rabu, akan menyambung semula dagangan mulai 9 pagi esok.
— BERNAMA




