KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi ini agak tinggi sedikit selepas didagangkan dalam jajaran kecil dengan kehendak risiko pelabur dikekang oleh peningkatan dalam kes kematian dan penularan harian COVID-19 di dalam negara.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 1.17 mata atau 0.074 peratus kepada 1,582.65 daripada 1,581.48 pada penutupan urus niaga semalam (Rabu).
Indeks utama dibuka 1.87 mata lebih tinggi pada 1,583.35 pagi ini.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 445 berbalas 419 sementara 450 kaunter tidak berubah, 846 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah sebanyak 2.92 bilion unit bernilai RM1.41 bilion.
Malaysia melaporkan 75 kematian COVID-19 semalam dengan jangkitan baharu berjumlah 6,239.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, pasaran dijangka lemah di tengah-tengah jumlah harian kes COVID-19 yang tidak henti-henti.
“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI berlegar dalam julat 1,570-1,580 hari ini.
“Sementara itu, premium untuk pengambilalihan IJM Plantations oleh Kuala Lumpur Kepong Bhd mungkin merupakan petunjuk yang baik bahawa kenaikan harga minyak sawit mentah akan terus bertahan,” katanya dalam satu nota penyelidikannya hari ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.20, Public Bank naik satu sen kepada RM4.21 dan PetChem meningkat dua sen kepada RM8.07.
Bagi saham aktif pula, Vsolar dan XOX masing-masing kekal pada dua sen dan lima sen, sementara Managepay turun 2.5 sen kepada 24 sen.
Saham paling untung adalah Transocean yang mengukuh 64 sen kepada RM4.24, IJM Plantations meningkat 58 sen kepada RM3.04 dan Kobay Technology memperoleh 49 sen kepada RM2.32.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.45 mata kepada 11,546.06, Indeks FBMT 100 naik 19.15 mata kepada 11,233.73 tetapi FBM ACE turun 7.62 mata kepada 7,660.19.
Indeks FBM Emas Syariah menambah 28.24 mata kepada 12,697.11 dan FBM 70 mengukuhkan 67.70 mata kepada 14,970.97.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.64 mata kepada 15,283.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.43 mata kepada 192.72, dan Indeks Perladangan jatuh 30.12 mata kepada 6,781.34.
— BERNAMA

