KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengetepikan trend serantau untuk mengakhiri sesi pagi lebih tinggi hari ini, disokong oleh kegiatan pembelian membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih, didahului oleh CIMB IHH dan HLB.
Ketiga-tiga kaunter ini telah menyumbang 5.15 mata kepada indeks komposit.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 7.63 mata atau 0.48 peratus kepada 1,586.08 daripada penutupan urus niaga Jumaat lepas pada paras 1,578.45.
Indeks utama dibuka 2.99 mata lebih tinggi pada 1,581.44 dan berlegar antara 1,577.18 dan 1,588.55 sepanjang sesi pagi.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 507 berbalas 503 sementara 407 kaunter tidak berubah, 723 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 3.97 bilion saham bernilai RM2.31 bilion.
Di pasaran serantau, Nikkei Jepun turun 0.12 peratus menjadi 28,983,45, Indeks Straits Times Singapura menyusut 0.28 peratus kepada 3,167.03 dan Hang Seng Hong Kong kerugian 0.35 peratus kepada 28,685.50.
Menurut Rakuten Trade dalam satu nota penyelidikannya hari ini, dagangan Wall Street terus tidak menentu dengan inflasi memainkan peranan di celah-celah data pekerjaan yang lebih baik.
“Dengan ketidakpastian itu, kami berpendapat pergerakan pasaran serantau akan lebih bercampur-campur sepanjang urus niaga hari ini,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga menambah harga minyak mentah Brent yang telah mencecah paras US$71 setong boleh memberi manfaat kepada saham tenaga.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik empat sen kepada RM8.21 dan RM4.24, PetChem tidak berubah pada RM8.08 sementara Press Metal turun dua sen kepada RM5.19.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik menyusut 12 sen kepada 64.5 sen sementara Dagang Nexchange naik empat sen kepada 85 sen, Hibiscus menokok enam sen kepada 71.5 sen dan MMC meningkat 13 sen kepada RM1.82.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 63.99 mata pada 11,581.79, Indeks FBMT 100 mengukuh 63.32 mata kepada 11,268.90, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 17.79 mata kepada 12,746.09, FBM ACE menyusut 65.41 mata kepada 7,734.89 dan FBM 70 memperoleh 119.99 mata kepada 15,059.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 169.85 mata kepada 15,314.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.30 mata kepada 193.68 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 33.20 mata kepada 6,803.00.
— BERNAMA

