KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia diniagakan rendah pada sesi dagangan tengah hari berikutan kegiatan pengambilan untung ke atas kaunter berwajaran tinggi terpilih menjelang cuti panjang hujung minggu, membabitkan kaunter telekomunikasi, perbankan, pengangkutan dan berkiatan penjagaan kesihatan.
Trend menurun itu turut dipamerkan oleh pasaran serantau yang lain seperti Nikkei Jepun yang menyusut 0.43 peratus kepada 28,932.79 dan Indeks Straits Times Singapura yang jatuh 0.09 peratus kepada 3,162.10.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.49 mata atau 0.53 peratus kepada 1,582.08 daripada penutupan urus niaga Khamis 1,590.57.
Pagi ini, indeks utama itu dibuka 0.27 mata lebih rendah pada 1,590.30 dan berlegar antara 1,576.16 dan 1,590.31 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Di papan skor, pergerakan harga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 528 berbalas 386 manakala 430 kaunter tidak berubah, 798 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.27 bilion unit bernilai RM1.74 bilion.
Seorang peniaga berkata beberapa indeks pasaran utama telah perlahan-lahan kembali pulih dan ini membantu memberikan sedikit sokongan kepada indeks penanda aras.
Pengangkutan dan logistik misalnya, meningkat 4.2 peratus kepada 870.54.
Sebaliknya, indeks penjagaan kesihatan susut 1.23 peratus kepada 3,087.54.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, syarikat berkaitan penjagaan kesihatan seperti IHH, Top Glove, Supermax dan Hartalega masing-masing susut lima sen, empat sen, enam sen dan dua sen kepada RM5.33, RM4.96, RM3.95 dan RM8.66.
Kaunter yang mencatatkan kerugian termasuk Nestle yang susut RM1.30 kepada RM134.50, Malaysian Pacific Industries turun 58 sen kepada RM38.70 dan Petronas Dagangan 24 sen lebih rendah kepada RM18.86.
Saham untung pula Computer Form yang melonjak 42 sen kepada RM4.06 sementara MMC meningkat 39 sen kepada RM1.69.
Saham syarikat (MMC Corporation Bhd) meningkat hari ini, berikutan pengumuman bahawa Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd (STJ) berhasrat menjadikan MMC sebagai syarikat persendirian menerusi kaedah pengurangan modal terpilih (SCR) dan langkah pembayaran balik.
Konglomerat utiliti dan infrastruktur itu telah menerima surat daripada pemegang kepentingan utama STJ melalui Indra Cita Sdn Bhd untuk melaksanakan langkah SCR dan pembayaran balik berdasarkan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.
Indra Cita memiliki kepentingan 51.76 peratus dalam MMC.
Bagi saham aktif, Zelan naik 4.5 sen kepada 18 sen, Yong Tai menambah 2.5 sen kepada 29 sen sementara Focus Dynamics tidak berubah pada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 41.97 mata kepada 11,550.25 dan Indeks FBMT 100 susut 44.07 mata kepada 11,238.59.
Indeks FBM Emas Syariah turut merosot 46.61 mata kepada 12,772.70, FBM ACE turun 3.42 mata kepada 7,772.35 sementara FBM 70 naik 3.98 mata kepada 15,011.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 54.67 mata kepada 15,155.18, Indeks Perladangan turun 29.59 mata kepada 6,813.20 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.31 mata kepada 193.81.
— BERNAMA

