KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia terus mencatatkan kerugian pada sesi dagangan tengah hari ini dengan kegiatan penjualan dilihat menguasai sebahagian besar kaunter berwajaran tinggi berkaitan indeks, didahului oleh kaunter penjagaan kesihatan.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 6.87 mata atau 0.43 peratus kepada 1,591.07 daripada penutupan urus niaga Rabu pada 1,597.94.
Indeks utama dibuka 1.14 mata lebih tinggi pada 1,599.08 dan berlegar antara 1,590.15 dan 1,599.72 sepanjang sesi.
Secara keseluruhan, pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 480 berbalas 449 sementara 425 kaunter tidak berubah, 788 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.08 bilion unit bernilai RM1.92 bilion.
Dalam kalangan kaunter berkaitan penjagaan kesihatan, Hartalega turun 20 sen kepada RM8.72, IHH susut dua sen kepada RM5.39, Top Glove jatuh tujuh sen kepada RM5.03, Supermax merosot lapan sen kepada RM4.02 ekoran tindakan pelabur menjauhi pasaran kerana kes COVID-19 yang kian meningkat dan pada masa sama, menunggu pemangkin baharu, kata seorang penganalisis.
Menurut Rakuten Trade Research, perdagangan di pasaran serantau akan lebih bercampur-campur hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang tidak stabil kerana para peniaga masih menantikan laporan pekerjaan yang dijadual dikeluarkan pada Jumaat.
“Bagi pasaran domestik, kami yakin indeks FBM KLCI akan menguji tahap 1,600 dan diniagakan dalam julat 1,595-1,605 hari ini,” katanya dalam notanya.
Bagaimanapun, kerugian seterusnya disekat oleh keuntungan yang dicatatkan oleh Axiata dan KL Kepong dengan masing-masing meningkat lima sen dan 12 sen kepada RM3.85 dan RM22.
Saham Axiata lebih tinggi selepas pengumuman kerjasamanya dengan RHB Banking Group dan kedua-dua syarikat amat yakin bahawa konsortium yang baharu dibentuk (Digital Bank) mempunyai peluang tinggi untuk mendapatkan salah satu lesen perbankan digital yang akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menjelang suku pertama 2022.
Saham paling rugi termasuk MPI yang susut 54 sen kepada RM38.96, Time Dotcom turun 40 sen kepada RM14.00 dan F&N merosot 34 sen kepada RM27.04.
Saham yang mencatatkan keuntungan termasuk Computer Form, meningkat 84 sen kepada RM3.64, Choo Bee Metal menambah 22 sen kepada RM2.42 dan SAM Engineering mengukuh 15 sen kepada RM7.00.
Bagi saham aktif pula, Greenyield naik 8.5 sen kepada 35 sen, Serba Dinamik turun daripada kenaikan sebelumnya sebanyak setengah sen kepada 82 sen dan Focus Dynamics tidak berubah pada lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 27.45 mata kepada 11,599.42 dan Indeks FBMT 100 susut 34.78 mata kepada 11,287.98.
Indeks FBM Emas Syariah turun 23.46 mata kepada 12,833.61, sementara FBM 70 meningkat 7.98 mata kepada 15,021.86, dan FBM ACE naik 44.79 mata kepada 7,839.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 44.93 mata kepada 15,204.47, Indeks Perladangan meningkat 4.66 mata kepada 6,857.06, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.03 mata menjadi 193.57.
— BERNAMA

