KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dalam kerugian berikutan kegiatan pengambilan untung selepas mencatatkan sedikit peningkatan awal hari ini, dirangsang oleh pengumuman pakej PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion lewat semalam.
Bagaimanapun, terdapat sokongan belian untuk kaunter berkaitan indeks seperti sektor perbankan, penjagaan kesihatan, produk pengguna dan perkhidmatan serta telekomunikasi untuk menyokong indeks daripada terus diheret turun.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.88 mata atau 0.18 peratus kepada 1,580.67 daripada 1,583.55 ketika ditutup petang Isnin.
Indeks utama dibuka 2.19 mata lebih tinggi pada 1,585.74 dan berlegar antara 1,580.10 dan 1,588.30 sepanjang urus niaga sesi pagi.
Pergerakan harga di pasaran berubah kepada negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 573 berbalas 376, sementara 399 kaunter tidak berubah, 785 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan 5.71 bilion unit bernilai RM3.26 bilion.
Beberapa saham perbankan berwajaran tinggi mencatatkan kenaikan pada sesi dagangan tengah hari ini, terutamanya disebabkan oleh pendapatan positif syarikat masing-masing yang dikeluarkan baru-baru ini.
Sebagai contoh CIMB Group, yang mencatatkan keuntungan bersih RM2.46 bilion pada suku pertama hasil peningkatan operasi, menyaksikan sahamnya melonjak 14 sen kepada RM4.42, diikuti oleh RHB yang menambah tiga sen kepada RM5.33 dan Hong Leong Financial Group naik dua sen kepada RM17.56.
Maybank bagaimanapun, kerugian empat sen kepada RM8.14.
Kenaikan dalam saham perbankan mendorong indeks perkhidmatan kewangan melonjak 17.21 mata kepada 15,027.01.
Seorang peniaga berkata walaupun kerajaan mengumumkan pelanjutan moratorium yang disasarkan kepada kumpulan B40, sektor perbankan dijangka tidak terjejas.
“Moratorium itu adalah untuk segmen yang disasarkan, oleh itu bank tidak akan terjejas tetapi sekiranya moratorium secara menyeluruh, mungkin agak sukar bagi mereka untuk mengekalkan imbangan kira-kira mereka,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Research dalam catatannya pula menyatakan bank-bank yang lebih besar akan menjadi antara benefisiari pertama sebaik sahaja ekonomi negara pulih setelah mengalami beberapa halangan akibat pelaksanaan semula sekatan pergerakan.
“Dengan langkah vaksinasi, kami lebih optimis untuk pemulihan ekonomi yang progresif pada separuh kedua tahun 2021, yang dapat mengatasi kekurangan yang dijangkakan dalam beberapa bulan mendatang,” tambahnya.
Dalam kalangan 30 saham berwajaran tinggi berkaitan dengan indeks, Public Bank turun dua sen kepada RM4.19, PChem susut dua sen kepada RM8 dan Top Glove lebih rendah sebanyak 10 sen kepada RM5.08.
Bagi saham paling rugi, BAT turun 88 sen kepada RM14.88, Pharmaniaga menyusut 60 sen kepada RM5.97 dan Sedania Innovator 30 sen lebih rendah pada RM1.08.
Saham paling cergas pula, Serba Dinamik yang telah mengeluarkan KPMG PLT sebagai juruaudit luaran kumpulan, menyaksikan sahamnya susut 24 sen kepada 89 sen, sementara warannya meningkat empat sen kepada 12 sen.
Urest pula turun setengah sen kepada 43 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 26.54 mata kepada 11,469.27 dan Indeks FBMT 100 lemah 26.10 mata kepada 11,172.49.
Indeks FBM Emas Syariah merosot 55.67 mata kepada 12,717.24, FBM 70 menyusut 56.78 mata kepada 14,706.12 dan FBM ACE susut 71.52 mata kepada 7,609.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 17.21 mata kepada 15,027.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.38 mata kepada 190.48 dan Indeks Perladangan merosot 39.56 mata kepada 6,842.84.
— BERNAMA

