KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Saham Sedania Innovator Bhd naik lebih 32 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa pada RM1.20 selepas syarikat mengumumkan pengembangan anak syarikat 51 peratus miliknya, Offspring Inc ke Sepanyol, Finland, Kemboja dan Korea Selatan untuk meningkatkan eksport dan kedudukan di peringkat global.
Pada 12.07 tengah hari, harga sahamnya meningkat 29.5 sen, atau 32.6 peratus kepada RM1.20 daripada 90.5 sen semasa ditutup pada Isnin, dengan 47.72 juta saham diniagakan.
Sedania Innovator juga antara saham paling aktif diniagakan pada sesi pagi.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pengembangan tersebut, melalui kerjasama dengan rakan-rakan di empat negara itu, akan menyaksikan Offspring memperluas pasaran eksportnya, yang kini termasuk Singapura, Brunei, Filipina, Rusia dan Amerika Syarikat.
“Meneroka ke Sepanyol dan Finland selepas kejayaan di Rusia memberi kami kelebihan daya saing dalam pasaran Eropah,” kata Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor.
Offspring adalah sebuah syarikat teknologi kesihatan yang menghasilkan lampin bayi mesra alam, tisu basah boleh terurai, barangan keperluan penjagaan bayi dan produk isi rumah.
— BERNAMA




