KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi awal urus niaga hari ini dalam zon positif dengan para pelabur kembali semula ke pasaran ekuiti tempatan selepas kebimbangan mengenai pelaksanaan sekatan sepenuhnya semakin mereda.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.24 mata atau 0.72 peratus kepada 1,573.41 daripada 1,562.17 ketika ditutup petang Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka 1.61 mata lebih kukuh pada 1,563.78 dan berlegar antara 1,563.57 dan 1,576.96 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 829 berbalas 245 sementara 318 kaunter tidak berubah, 810 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.75 bilion unit bernilai RM1.78 bilion.
Seorang peniaga berkata para pelabur memberi tindak balas positif terhadap keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang lebih ketat mulai 25 Mei dan bukannya sekatan pergerakan secara menyeluruh seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
“Sentimen yang lebih baik ini telah melonjakkan ekuiti tempatan hari ini,” katanya.
Pada Sabtu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan tambahan untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 melalui dua strategi, iaitu arahan bekerja dari rumah (WFH) dan mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei untuk seluruh Semenanjung dan Labuan.
Beliau berkata ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan sekali gus dapat mencegah penyebaran COVID-19 yang lebih serius.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank melonjak 11 sen kepada RM8.35, Press Metal Aluminium naik 14 sen kepada RM5.14, Sime Darby Plantation peroleh 16 sen kepada RM4.59 sementara Axiata dan IHH masing-masing naik 10 sen kepada RM3.50 dan RM5.30.
Saham paling untung termasuk MPI, meningkat 90 sen kepada RM36.26, Choo Bee Metal naik 49 sen kepada RM2.13, Panamy 42 sen lebih kukuh pada RM31.60, Pharmaniaga menokok 41 sen kepada RM4.44 dan UWC 34 sen lebih tinggi pada RM5 .29.
Bagi saham cergas, Privasia Technology naik 8.5 sen kepada 26 sen, Eka Noodle meningkat 2.5 sen kepada 4.5 sen, Kanger menambah setengah sen kepada sembilan sen, MPay naik 2.5 sen kepada 21 sen sementara Focus Dynamics tidak berubah pada 6.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 109.51 mata kepada 11,445.54, Indeks FBMT 100 meningkat 97.05 mata kepada 11,139.27.
Indeks FBM Emas Syariah meningkat 132.39 mata kepada 12,740.42, FBM ACE melonjak 181.63 mata kepada 7,806.50 dan FBM 70 mengembang 196.22 mata kepada 14,732.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 106.27 mata kepada 14,874.27, Indeks Perladangan naik 59.47 mata kepada 6,958.99 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 3.50 mata kepada 190.80.
–BERNAMA

