KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Kegiatan penjualan bersih asing perlahan sedikit pada minggu urus niaga yang singkat minggu lepas dengan pelabur asing hanya melupuskan sejumlah RM108.1 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM336.4 juta bersih minggu sebelumnya, kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohamed Rahim.
Urus niaga di Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada 13-16 Mei sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata pelabur asing memulakan minggu urus niaga pada Isnin lepas dengan mengeluarkan sejumlah RM37.0 juta bersih ekuiti tempatan ketika pelabur mula menjauhi pasaran, menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku pertama tahun 2021.
“Beberapa aktiviti penjualan berlaku di kaunter sarung tangan getah pada hari berkenaan (Isnin) berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di dalam negara selepas bermulanya program vaksinasi secara sukarela menggunakan vaksin AstraZeneca,” katanya kepada Bernama.
Aliran keluar bersih asing terus meningkat pada Selasa kepada RM67.8 juta dengan kebimbangan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada skala yang lebih besar telah menjejaskan sentimen positif diperoleh daripada penguncupan pertumbuhan KDNK Malaysia yang lebih kecil sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penurunan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.
Pada hari dagangan terakhir sebelum pasaran ditutup sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Adam berkata pelabur asing melupuskan sejumlah RM3.3 juta bersih ekuiti tempatan, menjadikan aliran keluar asing asing setakat tahun ini berjumlah RM3.3 bilion.
“Hanya ada empat minggu pembelian bersih asing daripada 19 minggu setakat tahun ini,” katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia, bernilai RM6.25 bilion.
“Institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing berjumlah -RM2.94 bilion dan -RM3.31 bilion,” kata firma penyelidikan itu.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan penurunan mingguan masing-masing sebanyak 37.45 peratus, 33.28 peratus dan 12.75 peratus dalam purata nilai dagangan harian.
— BERNAMA

