KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Sentimen berhati-hati merentas pasaran menyaksikan keuntungan awal berkurangan pada sesi dagangan tengah hari tetapi indeks utama masih lagi dalam zon positif.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.50 mata kepada 1,587.02 daripada 1,582.52 ketika urus niaga ditutup pada Rabu.
Indeks utama yang dibuka 5.03 mata lemah pada paras rendah seharian 1,577.49, turut mencecah paras tertinggi seharian 1,592.57 pada sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal lesu dengan kaunter rugi mengatasi untung 884 berbalas 221 sementara 323 kaunter tidak berubah, 757 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.72 bilion saham bernilai RM2.04 bilion.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM8.31, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.19, TNB melonjak 11 sen kepada RM9.98, CIMB menambah tiga sen kepada RM4.21, Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM8.05 sementara IHH Healthcare dan Top Glove masing-masing susut lima sen kepada RM5.36 dan RM5.26.
Bagi saham aktif, UCrest meningkat 7.5 sen kepada 37.5 sen, Kanger International satu sen lebih tinggi pada 8.5 sen, Niche Capital naik 4.5 sen kepada 27 sen, KTG menokok setengah sen kepada 21 sen, Lambo tidak berubah pada 1.5 sen, Hiap Teck turun sembilan sen kepada 55 sen dan Lion Industries lebih rendah 11.5 sen kepada 74.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 21.22 mata kepada 11,541.82, Indeks FBMT 100 merosot 4.25 mata kepada 11,229.72, Indeks FBM Emas Syariah turun 60.51 mata kepada 12,869.89, FBM ACE lebih rendah 149.30 mata kepada 7,796.86 dan FBM 70 kerugian 146.34 mata kepada 14,829.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 80.21 mata kepada 14,930.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pada 196.12 dan Indeks Perladangan turun 43.40 mata kepada 7,030.38.
– BERNAMA

