KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) — UMW Group merekodkan jualan tinggi dalam automotif bagi April 2021 menerusi syarikatnya, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dengan mencatatkan jualan sebanyak 29,679 kenderaan bagi bulan tersebut.
UMWT dalam satu kenyataan berkata ia mencapai jualan sebanyak 9,280 unit pada April 2021, 12.7 peratus lebih tinggi daripada 8,232 unit yang dicatatkan pada bulan Mac 2021 dalam persekitaran permintaan yang tinggi untuk Toyota Corolla Cross dan Toyota Harrier yang baru dilancarkan.
Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT, katanya.
“Toyota Fortuner dan Innova yang dipertingkatkan juga memberikan sumbangan positif terhadap jualan bulan April.
“Untuk empat bulan pertama tahun ini, UMWT telah jual sebanyak 26,431 kenderaan, jauh lebih tinggi daripada 10,596 unit yang direkodkan pada tempoh sama pada tahun 2020 yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP 1.0). UMWT mensasarkan untuk menjual sebanyak 62,000 unit pada 2021,” katanya.
Sementara itu, syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan sebanyak 20,399 unit pada April 2021, lebih rendah daripada 24,431 unit yang direkodkan pada bulan sebelumnya, ia disebabkan oleh kekurangan cip semikonduktor yang telah memberi kesan buruk kepada industri automotif.
“Permintaan untuk Perodua Ativa yang dilancarkan pada 3 Mac lepas kekal kukuh dengan purata tempahan harian sebanyak 290 unit. Perodua menjual sebanyak 4,624 unit Ativa pada April, menjadikan jumlah keseluruhan sejak dilancarkan kepada hampir 9,000 unit,” katanya.
Untuk empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual sebanyak 78,304 kenderaan, naik 73.9 peratus daripada 45.034 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun 2020 yang terjejas akibat PKP 1.0.
Perodua mensasarkan untuk menjual 240,000 unit tahun ini.
“Kami teruja dengan jualan kukuh dicatat oleh UMWT dan Perodua. Model yang baru dilancarkan telah diterima dengan baik oleh pelanggan kami, ia yang membawa kepada jualan yang lebih tinggi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.
Beliau berkata syarikat melakukan yang terbaik untuk meningkatkan pengeluaran untuk memastikan penghantaran sampai tepat pada masanya kepada pelanggan.
Namun, beliau berkata kekurangan cip semikonduktor telah mempengaruhi pengeluaran Perodua dan ia sedang mencari pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah tersebut.
“Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada pelanggan kami atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan syarikat ini,” katanya.
Dalam pada itu, UMW berkata UMW Grantt International Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar minyak pelincir GRANTT baru-baru ini mengumumkan penajaan pelumba motosikal Malaysia yang berpotensi, Hafizh Syahrin Abdullah untuk tahun kedua berturut-turut.
Ia berkata penajaan Hafizh Syahrin yang dilanjutkan dalam perlumbaan Moto2 untuk musim 2021 memberi kesan yang baik kepada semua pihak yang terlibat serta pembangunan sukan permotoran di Malaysia.
Kerjasama itu memberi UMW peluang memperkenalkan minyak pelincir GRANTT kepada pelanggan di peringkat global untuk meningkatkan lagi kehadiran jenamanya.
— BERNAMA




