KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Inari Amertron Bhd mencadangkan tawaran saham persendirian sehingga 333 juta saham dalam Inari, mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah saham kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti pada tarikh yang akan datang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata langkah tersebut dijangka meraih hasil kasar sehingga RM1.065 bilion daripada cadangan pelaksanaan tawaran saham persendirian itu.
Katanya daripada hasil itu, RM1.048 bilion dijangka akan digunakan sebagai perbelanjaan modal, untuk pengambilalihan dan pelaburan.
Cadangan tawaran saham persendirian itu akan mengukuhkan aset bersih kepada RM2.61 bilion selepas pelaksanaan korporat sepenuhnya dan mempercepatkan pelannya untuk memperoleh semikonduktor berkualiti baik, strategik dan menarik serta syarikat dan/atau aset berkaitan pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT).
Mengenai prospek, kumpulan perkhidmatan pembuatan elektronik itu optimis mengenai pertumbuhan pendapatannya sejajar dengan jangkaan pertumbuhan permintaan terhadap telefon mudah alih 5G.
— BERNAMA




