KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini lebih rendah berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung membabitkan beberapa kaunter berwajaran tinggi terpilih, didahului oleh Petronas Dagangan dan Hartalega.
Petronas Dagangan turun 38 sen kepada RM19.78 dan Hartalega susut 20 sen kepada RM10.08.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 8.18 mata kepada 1,593.47 daripada 1,601.65 minggu lepas.
Pagi ini, indeks dibuka 0.44 mata lebih tinggi pada 1,602.09 dan bergerak antara 1,592.84 dan 1,602.09 sepanjang sesi pagi.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 853 berbalas 272 sementara 331 kaunter tidak berubah, 697 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.31 bilion saham bernilai RM2.71 bilion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka lebih tinggi tetapi berubah menjadi negatif sebelum menyusut ketika mengakhiri sesi pagi berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung.
Beliau berkata pergerakan di Bursa Malaysia juga seiring dengan prestasi serantau kerana kekurangan pemangkin pasaran untuk memacu pasaran meskipun Wall Street mempamerkan trend menaik.
Bagi prestasi serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 1.32 peratus menjadi 3,175.91, Nikkei Jepun lemah 0.83 peratus kepada 28,812.63, Kospi Korea Selatan menyusut 0.25 peratus kepada 3,139.91, dan Hang Seng Hong Kong lebih rendah 1.48 peratus kepada 28,300.52.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.24, Public Bank turun dua sen kepada RM4.13 dan Top Glove menyusut sembilan sen kepada RM5.56.
Bagi saham aktif, LKL naik empat sen kepada 38 sen, Hiap Teck meningkat 1.5 sen kepada 65 sen sementara Priceworth susut setengah sen kepada dua sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 76.83 mata pada 11,721.46, Indeks FBM Emas Syariah turun 105.65 mata kepada 13,166.85, Indeks FBMT 100 susut 73.26 mata kepada 11,376.90, FBM 70 merosot 156.71 mata kepada 15,419.43 dan FBM ACE menguncup 106.89 mata kepada 8,739.13.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.90 mata kepada 197.46, Indeks Perladangan meningkat 2.93 mata kepada 6,902.62 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.45 mata kepada 14,848.80.
– BERNAMA

