KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi ini lebih lemah berikutan kegiatan penjualan berterusan membabitkan kaunter penjagaan kesihatan dan perladangan terpilih di tengah sentimen bercampur-campur pasaran serantau, kata para peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.70 mata kepada 1,602.08 daripada 1,608.50 ketika ditutup pada urus niaga petang Rabu.
Indeks utama dibuka 6.71 mata lebih tinggi pagi ini kepada 1,615.21 dan bergerak antara 1,600.05 dan 1,615.21 sepanjang sesi urus niaga.
Pergerakan harga di keseluruhan pasaran kekal negatif dengan 544 kaunter rugi berbalas 432 kaunter untung, 435 kaunter tidak berubah, 780 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.87 bilion saham bernilai RM2.25 bilion.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, indeks tempatan dijangka meningkat melepasi paras 1,610 hari ini dengan julat antara 1,610-1,620.
Namun begitu, ia menambah memandangkan sentimen masih lemah maka pasaran tidak akan menyaksikan sebarang kegiatan belian.
“Wall Street telah melonjak, didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh untuk suku pertama 2021. S&P 500 yang lebih luas ditutup pada paras tertinggi melebihi paras 4,200, sementara Purata Indeks Dow Jones meningkat hampir 240 mata melepasi paras 34,000 sekali lagi.
“Oleh itu, kami berpendapat pasaran serantau akan mengekalkan prestasi kukuh masing-masing hari ini,” katanya.
Top Glove dan Kuala Lumpur Kepong, yang menyumbang sejumlah 2.29 mata kepada kerugian indeks komposit, adalah antara kaunter yang paling kerugian, masing-masing merosot 8.0 sen dan 50 sen kepada RM5.59 dan RM22.30.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi yang lain, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.25 dan RM4.17, Petronas Chemicals naik 8.0 sen kepada RM8.19, TNB menambah 2.0 sen kepada RM10.01 sementara IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM5.37.
Bagi kaunter aktif pula, Focus Dynamics turun 1.0 sen kepada 12 sen, KTG lega setengah sen kepada 24 sen, Vortex Consolidated tidak berubah pada 14 sen tetapi Hiap Teck meningkat 4.5 sen kepada 61 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 31.99 mata kepada 11,808.82, FBMT 100 turun 37.39 mata kepada 11,461.64, FBM 70 menyusut 37.79 mata pada 15,604.41, FBM Emas Syariah kerugian 35.54 mata kepada 13,269.88 dan FBM ACE kehilangan 34.55 mata kepada 8,830.45.
Mengikut sektor, indeks Perladangan menyusut 29.16 mata kepada 6,886.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah sebanyak 47.06 mata pada 14,919.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.97 mata kepada 199.69.
– BERNAMA

