KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Sapura Energy Bhd berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM160.87 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Jan 2021 berbanding kerugian sebanyak RM4.56 bilion yang dicatatkan dalam tahun sebelum ini.
Syarikat itu berkata ini disebabkan oleh peningkatan margin projek daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), kos kewangan bersih yang lebih rendah serta kerugian pertukaran asing bersih yang minimum termasuk perbelanjaan penstrukturan semula.
Kerugian tahun lepas, sebelum cukai dan selepas rosot nilai termasuk peruntukan rosot nilai ke atas perbelanjaan muhibah ke atas penyatuan berjumlah RM3.04 bilion dan peruntukan rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan adalah sebanyak RM240.9 juta.
Bagaimanapun, Sapura Energy berkata hasil tahun kewangan 2021 susut 17.1 peratus kepada RM5.35 bilion berbanding RM6.45 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Penurunan hasil ini adalah disebabkan oleh perolehan yang lebih rendah daripada E&C serta segmen perniagaan penggerudian, yang sejajar dengan kemajuan projek yang sedang dilaksanakan.
“Ia juga disebabkan oleh kadar hari efektif yang lebih rendah susulan pergerakan yang agak terhad dan langkah-langkah sekatan dalam pelbagai bidang kuasa yang berpunca daripada pandemik global COVID-19,” kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku keempat, kerugian bersih menyusut kepada RM216.03 juta daripada RM4.23 bilion pada tahun sebelum ini, manakala hasil menokok 29.8 peratus kepada RM1.44 bilion daripada RM1.11 bilion sebelumnya.
“Ini mencerminkan kesan gangguan pandemik terhadap perniagaan kumpulan, berikutan kejutan terhadap pasaran minyak dan gas serta pelarasan radikal ke atas prosedur operasi standard industri,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib berkata kesan kewangan pandemik ke atas kumpulan adalah dianggarkan kira-kira RM286 juta, manakala bekerja semasa keadaan cuaca buruk memberikan beban tambahan sebanyak RM303 juta.
Anggaran itu merangkumi perbelanjaan tambahan akibat kelewatan rantaian bekalan, sekatan kuarantin ke atas kru serta kapal, kos mobilisasi termasuk ujian COVID-19 secara berkala ke atas pekerja di semua tempat kerja, pesisir pantai dan luar pesisir, katanya.
“Sehingga kini, keseluruhan kos COVID-19 dan RM149 juta dalam kos berkaitan cuaca masih belum diraih semula.
“Kumpulan akan bekerjasama dengan pelanggan untuk menyelesaikan kos ini pada tahun kewangan semasa, sambil mengekalkan dan memberikan prestasi terbaik berdasarkan keadaan,” katanya.
— BERNAMA




