KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi lebih rendah berikutan kegiatan jualan yang berterusan ke atas kaunter produk pengguna dan penjagaan kesihatan terpilih di tengah-tengah sentimen bercampur-campur pasaran serantau, demikian menurut para peniaga.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 13.51 mata kepada 1,609.96 daripada 1,623.47 ketika ditutup petang Isnin.
Indeks utama dibuka 0.26 mata lebih rendah pada 1,623.21 dan bergerak antara 1,608.24 dan 1,623.25 sepanjang sesi.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 650 berbalas 314 manakala 463 kaunter tidak berubah, 773 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.54 bilion saham bernilai RM3.17 bilion.
Seorang peniaga berkata kebanyakan bursa serantau diniagakan bercampur-campur hari ini kerana pelabur masih menunggu keputusan mengenai kadar faedah daripada Bank of Japan.
Sementara itu, pasaran saham global mencatatkan keuntungan sederhana semalam, didorong oleh keyakinan yang kian meningkat terhadap pemulihan pesat ekonomi global daripada impak penularan COVID-19 dan ini telah membantu mengimbangi kebimbangan mengenai kepantasan kenaikan pasaran.
“Permulaan minggu ini agak lengang kerana para pelabur menahan diri daripada mengambil sebarang pegangan terutama menjelang mesyuarat dua hari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang bermula hari ini serta data keluaran dalam negara kasar suku tahunan AS yang bakal diumumkan.
“Peniaga juga mengambil sikap menjauhi pasaran menjelang minggu pengumuman pendapatan oleh syarikat-syarikat besar AS dengan syarikat gergasi teknologi Microsoft, Facebook, Apple dan Amazon telah bersedia untuk melaporkan pendapatan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, saham berwajaran tinggi Maybank turun 8.0 sen kepada RM8.28, Public Bank menyusut 2.0 sen kepada RM4.17, Top Glove jatuh 9.0 sen kepada RM5.81 sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.91 dan TNB naik 2.0 sen kepada RM10.02.
Bagi kaunter aktif, Focus Dynamics turun setengah sen kepada 14 sen, Mah Sing merosot 2.0 sen kepada RM1.06, Kanger International naik setengah sen kepada 7.5 sen dan Careplus tidak berubah pada RM2.76.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 73.13 mata kepada 11,864.78, FBMT 100 turun 76.64 mata kepada 11,515.94, FBM 70 lebih rendah 27.41 mata pada 15,690.21, FBM Emas Syariah kerugian 82.07 mata kepada 13,362.24 sementara FBM ACE melonjak 32.29 mata kepada 8,933.21.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menguncup 35.19 mata kepada 6,849.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 96.14 mata pada 14,955.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.54 mata menjadi 197.12.
— BERNAMA

