KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Top Glove Corporation Bhd telah menyelesaikan semua 11 petunjuk buruh paksa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkuat kuasa 22 April, 2021.
Dalam kenyataan hari ini, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu berkata penyelesaian 11 petunjuk buruh paksa ILO telah disahkan oleh firma perunding antarabangsa bebas yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Impactt Ltd, dalam laporannya bertarikh 22 April.
“Oleh itu, Top Glove telah berjaya menyelesaikan semua 11 petunjuk buruh paksa ILO pada 22 April,” demikian diumumkannya.
Top Glove berkata sejak Julai 2020, syarikat telah mengadakan perbincangan dengan Impactt mengenai nasihat berkaitan langkah-langkah untuk menambah baik dasar dan amalan buruh syarikat.
“Kami tetap komited untuk menjadi syarikat yang terbaik, memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal 21,000 tenaga kerja kami berkualiti tinggi,” katanya.
— BERNAMA




