KUALA LUMPUR, 26 April — Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi harian pada akhir dagangan Isnin, dipacu oleh sokongan belian berterusan dalam kaunter produk pengguna dan penjagaan kesihatan terpilih selain menjejaki sentimen positif di kebanyakan pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 5 petang ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 15.04 mata kepada 1,623.47 berbanding 1,608.43 pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Sewaktu pasaran dibuka, indeks penanda aras itu menokok 2.31 mata kepada 1,610.74 namun susut ke paras 1,610.47 dalam sesi seterusnya.
Bagaimanapun, sentimen pasaran secara keseluruhannya bertukar positif pada minit-minit akhir dagangan yang menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 578 berbanding 560 manakala 409 kaunter tidak berubah, 650 tidak diniagakan dan 41 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan turut melonjak kepada 8.30 bilion saham bernilai RM5.59 bilion daripada 6.55 bilion saham bernilai RM4.19 bilion pada Jumaat lepas.
Sementara itu, seorang peniaga berkata kebanyakan pasaran Asia mencatat dagangan lebih tinggi pada Isnin, termasuk di China yang mana saham-sahamnya hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu ketika tanda-tanda pemulihan ekonomi terus memacu minat terhadap risiko.
Menurutnya, pelabur juga menunggu pengumuman hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu ini bagi mendapatkan hala tuju pasaran bagi masa depan.
Beliau berkata, pihak Fed telah menyatakan akan terus mengekalkan pendirian dasar monetari yang akomodatif untuk sementara waktu ini, sekali gus melegakan negara-negara Asia dari segi ruang bagi kelonggaran dasar seterusnya.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.44 peratus kepada 3,208.49 manakala pasaran Nikkei Jepun susut 0.36 peratus kepada 29,126.23 dan Hang Seng China merosot 0.43 peratus kepada 28,952.83.
Di peringkat tempatan, kaunter paling untung termasuk Nestle dan Careplus Group yang masing-masing meraih RM1.50 kepada RM136.50 dan 51 sen kepada RM2.76.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meraih 10 sen kepada RM8.36, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.19, Petronas Chemicals meningkat 4.0 sen kepada RM7.91 manakala TNB tidak berubah pada RM10 dan IHH merosot 8.0 sen kepada RM5.40.
Saham aktif menyaksikan Minda Global dan Focus Dynamics masing-masing menambah 2.0 sen kepada 19 sen dan 14.5 sen manakala AT Systematization untung setengah sen kepada 10.5 sen dan Nova MSC menokok 1.5 sen kepada 15.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 97.45 mata kepada 11,937.91; FBMT 100 meningkat 100.52 mata kepada 11,592.58; FBM 70 melonjak 109.72 mata kepada 15,717.62; FBM Emas Shariah meraih 136.62 mata kepada 13,444.31 dan FBM ACE naik 24.87 mata kepada 8,900.92.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 42.45 mata kepada 6,884.74; Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 77.38 mata kepada 15,051.61 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.52 mata kepada 197.66.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok sebanyak 4.47 bilion saham bernilai RM4.21 bilion berbanding 3.74 bilion saham bernilai RM3.39 bilion pada Jumaat.
Waran berkurangan kepada 424.38 juta unit bernilai RM49.27 juta daripada 543.78 juta unit bernilai RM55.23 juta, sebelum ini.
Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.41 bilion saham bernilai RM1.33 juta berbanding 2.26 bilion saham bernilai RM742.74 bilion pada minggu lepas.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 1.26 bilion saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.24 bilion), pembinaan (131.64 juta), teknologi (509.15 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.70 juta), hartanah (506.54 juta), perladangan (25.91 juta), REIT (5.97 juta), dana/ditutup (16,200), tenaga (248.45 juta), penjagaan kesihatan (216.11 juta), telekomunikasi dan media (92.28 juta), pengangkutan dan logistik (133.80 juta) serta utiliti (41.49 juta).
— BERNAMA

