KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Saham Techna-X Bhd meningkat lebih 15 peratus dalam dagangan awal selepas mengumumkan langkah memasuki pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan pembangunan sistem pandu voltan rendah.
Pada 9.45 pagi, kaunter itu menambah dua sen kepada 15 sen dengan 119.27 juta saham bertukar tangan.
Techna-X menerusi anak syarikatnya HK Aerospace Beidou New Energy Industry Technology Co., Ltd, telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Monika Mikac dan Igor Pongrac, bekas pengasas bersama Rimac Automobili iaitu kuasa teknologi dalam domain kereta hiper elektrik bersama-sama Nordin Catic, pakar material dan Benjamin Bozic, pakar reka bentuk sistem elektronik.
Dalam kenyataan semalam, Techna-X berkata syarikat JV itu telah didaftarkan sebagai E-Rex d.o.o. (E-Rex), yang mana Techna-X akan memiliki 51 peratus ekuiti, manakala pengasas bersamanya akan memegang baki 49 peratus lagi.
Katanya, untuk permulaan E-Rex akan menumpukan kepada kemajuan rangkaian kuasa voltan rendah yang bersesuaian untuk kenderaan penumpang EV voltan rendah dan kenderaan komersial sehingga 2.5T (ketika ini menggunakan bateri dengan julat voltan 250 dan 800-V untuk rangkaian pemacu).
— BERNAMA




