KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia kekal di bawah paras 1,600 mata pada sesi dagangan tengah hari di tengah-tengah tekanan jualan berikutan kebimbangan yang kian meruncing terhadap lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia.
Hanya indeks pengangkutan dan logistik, telekomunikasi dan media serta teknologi berada dalam zon positif.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.43 mata kepada 1,599.95 berbanding 1,608.38 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka 0.27 mata lebih lemah pada 1,608.11 dan berlegar antara 1,608.62 dan 1,596.05 sepanjang sesi urus niaga.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 696 berbalas 338 sementara 377 kaunter tidak berubah, 748 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.34 bilion saham bernilai RM2.42 juta.
Menurut Rakuten Trade, pasaran diniagakan dalam jajaran yang sempit kerana ketiadaan sebarang pemangkin pembelian.
“Walaupun kami melihat ada beberapa aktiviti oleh dana asing, kami percaya ia tidak bertahan lama. Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada antara julat 1,602-1,612 hari ini,” katanya dalam satu nota di sini hari ini.
Seorang penganalisis berkata peserta pasaran kembali memberi perhatian kepada peningkatan kes COVID-19, yang boleh menjurus kepada sekatan pergerakan dan ini pasti menjejaskan aktiviti ekonomi.
Kebimbangan terhadap pandemik turut mempengaruhi pasaran minyak. Minyak mentah Brent berlegar sekitar US$66 setong.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Press Metal turun lapan sen kepada RM5.32 sementara Top Glove susut 11 sen kepada RM5.46, CIMB empat sen lebih rendah kepada RM4.25 dan TNB menyusut enam sen kepada RM10.02.
Sebaliknya, Supermax meningkat 16 sen pada RM5.47 dan Sime Darby Plantation naik dua sen kepada RM4.50.
Bagi kaunter aktif pula, Minda Global meningkat dua sen kepada 17.5 sen manakala Focus Dynamics turun 1.5 sen pada 13.5 sen dan Ucrest menambah enam sen kepada 41 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 55.31 mata kepada 11,795.47, FBM Emas Syariah susut 51.50 mata kepada 13,223.94 dan FBMT 100 jatuh 50.43 mata kepada 11,453.14.
FBM 70 merosot 30.57 mata kepada 15,638.60 dan FBM ACE turun 1.85 mata kepada 8,595.50.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan lebih rendah 20.70 mata kepada 6,859.35, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.15 mata kepada 15,022.01 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.98 mata kepada 195.85.
– BERNAMA

