KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga dalam nada positif, dirangsang oleh minat belian berterusan untuk saham berwajaran tinggi membabitkan kaunter telekomunikasi dan media.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 7.39 mata kepada 1,609.79 daripada 1,602.40 ketika ditutup petang semalam.
Indeks utama dibuka 12.55 mata lebih tinggi pada 1,614.95 dan bergerak antara 1,605.37 dan 1,615.49 sepanjang sesi urus niaga pagi-tengah hari.
Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 523 berbalas 430 manakala 437 kaunter tidak berubah, 767 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.05 bilion saham bernilai RM2.51 bilion.
Di peringkat prestasi bursa serantau, Nikkei Jepun meningkat 0.37 peratus kepada 29,819.06 sementara Indeks Straits Times Singapura turun 0.09 peratus menjadi 3,183.63, Hang Seng Hong Kong susut 0.72 peratus kepada 28,798.07, dan Kospi Korea Selatan turun 0.14 peratus menjadi 3,138.91.
Bagi bursa tempatan, FBM KLCI dijangka terus mempamerkan kenaikan hari ini, terutama selepas DIGI dan Axiata menyambung semula urus niaga berikutan pengumuman kemungkinan penggabungan kedua-duanya dalam perniagaan mudah alih.
Sementara itu, penyumbang utama kepada indeks Digi menambah 67 sen kepada RM4.42, Axiata Group naik 36 sen kepada RM4.16 dan Maxis 10 sen lebih tinggi kepada RM4.81.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.29, Tenaga meningkat enam sen kepada RM10.20, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM4.20 dan RM7.79 dan IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM5.27.
Bagi kaunter aktif pula, Borneo Oil naik setengah sen kepada lima sen, GFM menambah empat sen kepada 35 sen dan warannya meningkat 3.5 sen kepada 14 sen, LKL turun sembilan sen kepada 36 sen, sementara Berjaya Corp tidak berubah pada 45 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.57 mata kepada 11,888.27, FBMT 100 meningkat 26.73 mata kepada 11,534.53, FBM Emas Syariah mengukuh 44.69 mata kepada 13,267.80, FBM ACE mengembang 5.02 mata kepada 9,934.11 sementara FBM 70 merosot 64.22 mata menjadi 15,791.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.60 mata kepada 193.19, Indeks Perladangan susut 20.53 mata kepada 6,966.07 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.29 mata kepada 15,207.16.
— BERNAMA

