KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah selepas kemunculan kegiatan pengambilan untung yang membabitkan saham-saham berwajaran tinggi terpilih.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.79 mata kepada 1,582.56 daripada 1,585.35 pada penutupan urus niaga petang Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka 0.46 mata lebih rendah pada 1,586.51 dan bergerak antara 1,582.48 dan 1,590.67 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran agak positif dengan saham untung mengatasi rugi 499 berbalas 480 manakala 416 kaunter tidak berubah, 736 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah sebanyak 4.81 bilion saham bernilai RM1.46 bilion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka rendah untuk seketika sebelum meningkat selepas itu. Bagaimanapun, keuntungan awal di bursa tempatan tidak mampu bertahan berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung pada lewat pagi dan mengakhiri urus niaga sesi berkenaan lebih rendah.
Beliau berkata Bursa Malaysia mengenepikan trend serantau yang diniagakan tinggi pada Isnin, didorong oleh pergerakan di di Wall Street yang mencapai paras tinggi Khamis lepas.
Pasaran serantau turut mengambil petunjuk daripada indeks niaga hadapan yang dirangsang oleh data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh Jumaat lepas.
Di bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.85 peratus kepada 3,208.79 dan Nikkei Jepun 0.88 peratus lebih tinggi pada 30,115.33 sementara Kospi Korea Selatan meningkat 0.02 peratus kepada 3,113.50.
Dalam pada itu, pasaran di Shanghai, Hong Kong dan Australia ditutup sempena cuti umum.
Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank menokok enam sen kepada RM8.31 dan Petronas Chemical naik dua sen kepada RM8.02.
Public Bank turun tiga sen kepada RM4.21, Tenaga menyusut empat sen kepada RM10.22 dan IHH Healthcare lebih rendah sebanyak satu sen kepada RM5.28.
Antara kaunter aktif pula, Parkson menambah tiga sen kepada 28 sen, Berjaya meningkat dua sen kepada 47 sen dan Matang 1.5 sen lebih baik pada 13.5 sen.
Waran Focus Dynamic turun setengah sen kepada satu sen sementara Key Alliance tidak berubah pada empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 1.61 mata kepada 11,744.71, FBM 70 naik 68.05 mata kepada 15,797.37, FBM Emas Syariah mengembang 4.45 mata kepada 13,010.30, dan FBM ACE menokok 8.58 mata kepada 9,797.70 sementara FBMT 100 turun 1.69 mata kepada 11,391.67.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.28 mata kepada 194.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.75 mata kepada 15.283.31 tetapi Indeks Perladangan turun 13.43 mata kepada 7,032.11.
— BERNAMA

