KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Indeks utama Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian untuk hari kedua berturut-turut, menyusut 1.32 peratus sementara sentimen pasaran meluas masih lagi kekal lesu.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh di bawah paras 1,600 mata dan merosot 21.44 mata kepada 1,595.20 mata. Semalam, ia ditutup pada paras rendah harian 1,616.73.
Pagi ini, indeks dibuka 0.05 mata lebih tinggi pada 1,616.78.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata urus niaga pada Selasa menyaksikan keadaan kucar-kacir merentasi seluruh pasaran Asia termasuk indeks FBM KLCI.
Ini selepas para pelabur terganggu oleh langkah sekatan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Britain dan Kanada terhadap pegawai China atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik minoriti Muslim, Uyghur di Xinjiang.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 860 berbalas 315, sementara 420 kaunter tidak berubah, 615 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan kepada 7.05 bilion saham bernilai RM4.04 bilion daripada 7.57 bilion saham bernilai RM3.99 bilion pada Isnin.
Adam berkata bahawa ini adalah tindakan bersama Barat yang pertama terhadap Beijing di bawah Presiden AS baharu Joe Biden.
“Pada masa sama, pelabur menahan diri daripada membuat pertaruhan besar menjelang testimoni Kongres yang akan datang oleh pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell dan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen. Komen mengenai kenaikan hasil bon sangat dinantikan,” katanya kepada Bernama.
Alasan lain yang menyebabkan suasana suram hari ini ialah kemerosotan harga minyak di tengah-tengah penawaran yang cukup banyak ekoran kebimbangan bahawa pembendungan pandemik baharu dan pelancaran vaksin yang agak lembap di Eropah akan memperlahnkan pemulihan untuk permintaan terhadap bahan bakar.
Antara sektor yang terlibat, Indeks Pengangkutan dan Logistik Bursa Malaysia yang menyaksikan penyusutan 1.8 peratus dengan Malaysia Airports Holdings Bhd terus mencatatkan penurunan hari ini pada kadar enam peratus di tengah-tengah situasi berkaitan bank pusat Turki.
Sementara itu, saham paling rugi dalam kalangan saham berwajaran tinggi termasuk Top Glove yang turun sembilan sen kepada RM5.05, PChem jatuh 28 sen kepada RM7.92, Axiata menyusut 11 sen pada RM3.69, PBBank empat sen lebih rendah pada RM4.18 dan Genting lemah 19 sen pada RM5.17.
Bagi kaunter paling cergas, BJCorp naik empat sen pada 26.5 sen, Widad menambah 7.5 sen pada 51 sen, Macpie rugi 10 sen kepada 41 sen dan warannya menguncup dua sen pada 7.5 sen manakala Dynacia jatuh 2.5 sen kepada 12 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 131.82 mata kepada 11,729.12, FBMT 100 menyusut 135.35 mata kepada 11,403.87 dan FBM Emas Syariah turun 150.53 mata kepada 13,020.89.
Indeks FBM 70 lebih rendah 114.94 mata kepada 15,510.07 sementara FBM ACE berkurangan 141.05 mata kepada 10,511.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 141.21 mata kepada 15,285.22, Indeks Perladangan turun 15.20 mata kepada 7,135.20 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 2.66 mata kepada 190.22.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.45 bilion saham bernilai RM3.25 bilion berbanding 4.11 bilion saham bernilai RM2.95 bilion semalam.
Perolehan waran mengukuh kepada 291.59 juta unit bernilai RM47.12 juta daripada 260.68 juta unit bernilai RM41.47 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 2.31 bilion saham bernilai RM742.79 juta daripada 3.20 bilion saham bernilai RM1 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 880.27 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.51 bilion), pembinaan (183.24 juta), teknologi (713.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (79.14 juta), hartanah (283.43 juta), perladangan (31.96 juta), REIT (6.82 juta), dana tertutup (22,800), tenaga (432.6 juta), penjagaan kesihatan (45.24 juta), telekomunikasi dan media (39.72 juta), pengangkutan dan logistik (207.77 juta) dan utiliti (35.80 juta).
— BERNAMA

