KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Urus niaga di Bursa Malaysia meneruskan peningkatannya untuk hari kedua-dua berturut hari ini dengan prospek ekonomi yang kian kukuh di dalam dan luar negara telah merancakkan pasaran ekuiti.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mengurangkan sedikit keuntungan yang diraih berikutan kegiatan pengambilan untung tetapi masih kekal di zon positif untuk mengakhiri urus niaga 3.02 mata lebih tinggi pada 1,627.99 berbanding 1,624.97 pada penutupan petang Rabu.
Ketika urus niaga dibuka pagi ini, indeks utama mengukuh 1.21 mata pada 1,626.18 dan kekal melepasi tahap itu sepanjang sesi, meningkat sehingga setinggi paras 1,635.15.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan julat yang tipis iaitu 634 berbalas 615 manakala 411 kaunter tidak berubah, 587 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun, menyusut kepada 9.15 bilion saham bernilai RM4.89 bilion daripada 12.67 bilion saham bernilai RM4.77 bilion hari sebelumnya.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata bursa serantau Asia yang lain turut mencatat kenaikan hari ini selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) berjanji untuk mengekalkan kadar faedah pada tahap hampir sifar untuk sementara waktu walaupun dengan jangkaan kenaikan inflasi.
Ia turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 6.5 peratus untuk AS (rakan dagang utama Malaysia) ketika krisis COVID-19 semakin mereda.
Seorang penganalisis berkata urus niaga semalaman pasaran saham AS kembali kukuh dengan Purata Perindustrian Dow Jones menyumbang 0.6 peratus, mencecah paras psikologi 33,000 selepas keputusan Fed mengekalkan kadar faedah, sekurang-kurangnya sehingga 2023.
Di dalam negara, beliau berkata pelabur memuji langkah pengenalan pakej rangsangan tambahan – Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), yang akan mengukuhkan lagi pemulihan ekonomi domestik.
“Ini telah meningkatkan minat untuk saham-saham bertemakan pemulihan, terutamanya perbankan,” kata beliau kepada Bernama.
Public Bank mendahului saham berwajaran tinggi, meningkat empat sen kepada RM4.28, Genting menambah 19 sen pada RM5.49 dan Genting Malaysia naik 11 sen kepada RM3.29.
Press Metal pula lebih tinggi sebanyak 16 sen kepada RM10.16, IHH menokok tujuh sen kepada RM5.35 dan CIMB mengukuh empat sen kepada RM4.55.
Bagi kaunter aktif pula, Datasonic turun lapan sen atau 12.5 peratus kepada 56 sen. Bagaimanapun, urus niaga kaunter itu dihentikan pada jam 2.32 petang dan disambung semula pada jam 3.32 petang.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Datasonic menjelaskan timbalan pengarah urusannya, Chew Ben Ben adalah bekas pengarah Pristine Offshore Sdn Bhd, yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM, 2009 kerana didakwa memberi rasuah berhubung dengan sub-kontrak penyewaan kapal untuk kerja perlombongan minyak.
Ia berkata tuduhan itu sangat berkait rapat dengan syarikat pelaburan persendirian Chew, iaitu perniagaan penginapan sewa kapal kerja dan tiada kaitan langsung dengan mana-mana operasi Datasonic.
Chew telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan telahpun diikat jamin serta kembali bekerja di pejabat untuk menyambung tugas dan tanggungjawabnya sebagai timbalan pengarah urusan Datasonic. Chew memegang 49 peratus kepentingan dalam Pristine.
Sementara itu, Pegasus turun setengah sen pada 2.5 sen, LKL International enam sen lebih tinggi pada 40 sen dan Scomi naik setengah sen pada enam sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 27.47 mata kepada 11,951.11, FBMT 100 meningkat 27.19 mata kepada 11,625.60 dan FBM Emas Syariah turun 8.01 mata kepada 13,238.14.
Indeks FBM 70 mengukuh 58.52 mata kepada 15,765.22 dan FBM ACE 35.16 mata lebih kukuh pada 10,637.35.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.96 mata kepada 15,567.92, Indeks Perladangan turun 40.80 mata kepada 7,159.79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 2.14 mata kepada 193.97.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan 6.06 bilion saham bernilai RM4.07 bilion berbanding 9.43 bilion saham bernilai RM4.02 bilion pada hari Rabu.
Perolehan waran meningkat 392.54 juta unit bernilai RM72.34 juta daripada 294.75 juta unit bernilai RM50.02 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 2.70 bilion saham bernilai RM746.50 juta daripada 2.95 bilion saham bernilai RM695.23 sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 867.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.33 bilion), pembinaan (394.77 juta), teknologi (1.60 bilion), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (96.84 juta), hartanah (659.46 juta), perladangan (51.52 juta), REIT (15.05 juta), dana tertutup (32,000), tenaga (756.28 bilion), penjagaan kesihatan (59.11 juta), telekomunikasi dan media (62.02 juta), pengangkutan dan logistik (134.04 juta) dan utiliti (42.02 juta).
– BERNAMA

