KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini berikutan penurunan dalam sektor tenaga, kewangan dan perladangan yang mendorong indeks petunjuk pasaran rendah.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FBM KLCI merosot 4.99 mata kepada 1,618.97 daripada 1,623.96 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks dibuka tinggi 1.65 mata kepada 1,625.61 dan turun naik antara 1,616.19 dan 1,625.67 sepanjang sesi pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 536 berbanding 470, manakala 417 kaunter tidak berubah, 814 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 8.07 bilion saham bernilai RM2.42 bilion.
Seorang penganalisis berkata sebahagian pelabur mengambil pendirian berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan berakhir hari ini dalam persekitaran pasaran minyak yang rendah.
“Mereka menunggu hala tuju mengenai kadar faedah. Selain itu, pelabur memantau dasar bank pusat lain yang mengadakan mesyuarat minggu ini,” katanya.
Pada masa ini, minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate, masing-masing susut kepada US$68.23 dan US$64.74 setong.
Daripada saham wajaran tinggi, kaunter paling rugi termasuklah Public Bank merosot lapan sen kepada RM4.23, Maybank dan CIMB, masing-masing susut tiga sen kepada RM8.42 dan RM4.49.
PetChem berkurangan lima sen kepada RM8.20 dan Sime Darby susut tujuh sen kepada RM2.41.
Dalam pada itu, TM naik 23 sen kepada RM6.39 dan Genting meningkat 14 sen kepada RM5.26.
Dalam kalangan saham cergas, Pegasus tidak berubah pada tiga sen, manakala Borneo Oil naik satu sen kepada 4.5 sen.
Scomi dan Lambo, masing-masing meningkat setengah sen kepada 11.5 sen dan tiga sen, manakala Barakah naik empat sen kepada 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 20.38 mata kepada 11,881.29, FBMT 100 susut 26.38 mata kepada 11,557.87 dan FBM Emas Shariah berkurangan 4.94 mata kepada 13,175.03.
FBM 70 susut 0.1 mata kepada 15,660.65 dan FBM ACE merosot 63.34 mata kepada 10,683.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 88.50 mata kepada 15,514.47, Indeks Perladangan susut 22.68 mata kepada 7,207.59 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.10 mata kepada 191.89.
— BERNAMA

