KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi ini lebih rendah dengan kegiatan pengambilan untung terus menguasai pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.09 mata kepada 1,620.83, dengan trend menurun didahului oleh sektor-sektor sepert tenaga, telekomunikasi dan logistik.
Pagi ini, indeks utama dibuka 2.88 mata lebih tinggi kepada 1,623.80 berbanding 1,620.92 ketika ditutup pada petang Isnin dan bergerak antara 1,619.18 dan 1,625.52 sepanjang sesi pagi.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 731 berbalas 379 sementara 393 kaunter tidak berubah, 712 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.93 bilion unit bernilai RM3.46 bilion.
Kebanyakan sektor berada dalam kerugian kecuali perladangan, pembinaan dan penjagaan kesihatan, kata seorang penganalisis.
Beliau berkata bursa serantau Asia yang lain diniagakan bercampur-campur walaupun mendapat petunjuk positif daripada urus niaga semalaman di Wall Street.
Selain itu, pasaran minyak mentah agak rendah berikutan kebimbangan terhadap prospek permintaan tenaga terutama dalam situasi COVID-19 dan pengukuhan dolar AS.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate Crude, masing-masing rendah pada harga US$68.19 dan US$64.75 setong.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Axiata, Public Bank dan Sime Darby Plantation masing-masing turun dua sen kepada RM3.74, RM4.30 dan RM4.88.
HLFG menyusut 36 sen kepada RM17.60 dan Genting Malaysia turun tujuh sen kepada RM3.11.
TNB menokok 12 sen kepada RM10.78 sementara MISC bertambah lima sen kepada RM6.91.
Teladan Setia yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 9.5 sen kepada 57.5 sen, Widad naik 3.5 sen kepada 71.5 sen dan Komarkcorp 2.5 sen lebih baik kepada 37 sen.
Dagang Nexchange lebih rendah setengah sen kepada 97 sen dan BCM turun 6.5 sen kepada 24.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 10.38 mata kepada 11,874.43, FBMT 100 turun 2.72 mata kepada 11,558.58 dan FBM Emas Syariah pulih 4.23 mata kepada 13,133.86.
Indeks FBM 70 berkurangan 11.28 mata kepada 15,612.71 dan FBM ACE menyusut 33.71 mata kepada 10,592.43.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.62 mata kepada 15,625.36, Indeks Perladangan mengukuh 63.73 mata kepada 7,219.62 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.01 mata kepada 191.43.
– BERNAMA

