KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Solarvest Holdings Bhd menyasar meraih projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) 300 megawatts (MW) bernilai antara RM600 juta dan RM700 juta daripada pembida berjaya bagi program LSS@MEnTARI.
Ini akan meningkatkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2021 sehingga tahun kewangan 2023, kata pakar sistem fotovoltaik solar itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Solarvest juga yakin kumpulan itu berada di kedudukan baik untuk memenuhi keperluan kewangan bagi bidaan program tersebut, disokong oleh kekuatan kewangannya.
Anak syarikat milik penuhnya, Atlantic Blue Sdn Bhd diumumkan sebagai antara pembida berjaya bagi program tersebut untuk menyediakan kapasiti kumulatif 50 MW elektrik berkuasa solar menerusi ladang solar berskala besar.
Pembida yang disenarai pendek itu diumumkan pada Jumaat lepas oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Kami gembira disenaraipendekkan bagi tender tersebut kerana ia menandakan satu kemajuan besar dalam pelan pengembangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Davis Chong Chun Shiong sambil menambah portfolio aset solarnya akan menjadi satu pertiga daripada jumlah hasil kumpulan bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Kumpulan itu juga mencari lebih banyak peluang pelaburan bagi projek solar berskala besar di pasaran domestik dan luar negara seperti Taiwan, untuk mengembangkan portfolio aset solarnya.
“Kita melihat syarikat utiliti bergabung untuk membuka laluan bagi pembahagian elektrik rentas sempadan, oleh itu, kami percaya eksport tenaga bersih akan menjadi pemacu utama pertumbuhan seterusnya di Malaysia,” katanya.
Solarvest baru-baru ini mengumpulkan sejumlah RM38.7 juta daripada terbitan dan penawaran saham persendirian 32.0 juta saham baharu pada harga terbitan RM1.21 sesaham yang meningkatkan pegangan tunainya kepada RM80.3 juta.
Setakat 31 Dis, 2020, paras tunai bersih kumpulan berjumlah RM64.3 juta dan mengekalkan nisbah tahap kadar hutang rendah pada 0.1 kali.
— BERNAMA




