KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Urus niaga di Bursa Malaysia mencatatkan kerugian untuk mengakhiri sesi pagi ini walaupun dibuka lebih tinggi pada awal sesi dagangan.
Prestasi lemah itu disebabkan oleh kegiatan pengambilan untung dalam kaunter berwajaran tinggi membabitkan kaunter kewangan dan penjagaan kesihatan.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 9.36 mata kepada 1,619.88 daripada 1,629.41 pada penutupan urus niaga petang Khamis.
Indeks utama dibuka 1.18 mata lebih tinggi pada 1,630.59 dan bergerak antara 1,618.98 dan 1,632.01 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 590 berbalas 504 manakala 433 kaunter tidak berubah, 677 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.01 bilion unit bernilai RM3.10 bilion.
Seorang peniaga berkata selepas berusaha untuk kembali mencatatkan peningkatan, bursa tempatan mula menyusut selepas 37 minit diniagakan dan seterusnya mengakhiri sesi pagi dalam kerugian. Bagaimanapun, kegiatan membeli dalam kalangan saham berharga murah berupaya membantu menyokong pasaran secara meluas.
Sementara itu, pasaran serantau Asia yang lain kebanyakannya kukuh, mengambil petunjuk daripada keuntungan urus niaga semalaman di Wall Street selepas Presiden AS Joe Biden memeterai rang undang-undang untuk pelan rangsangan AS bernilai US$1.9 trilion.
Nikkei Jepun meningkat 1.17 peratus kepada 29,554.86, Indeks Straits Times Singapura naik 0.07 peratus menjadi 3,108.12 dan Kospi Korea Selatan mengukuh 1.32 peratus kepada 3,053.36 tetapi Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.23 peratus kepada 29,318.92.
Dalam pada itu, di pasaran tempatan pula, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun lima sen pada RM8.50, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.31 dan IHH Healthcare lebih rendah sebanyak tujuh sen kepada RM5.24
Petronas Chemicals naik sembilan sen kepada RM8.29 sementara Tenaga tidak berubah pada RM10.80.
Antara kaunter paling cergas, Dagang Nexchange naik 14 sen kepada RM1.01 dan warannya meningkat tiga sen kepada 39 sen, XOX bertambah setengah sen kepada tujuh sen, AT Systematization menokok dua sen kepada 13.5 sen sementara EA Holdings tidak berubah pada 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 45.22 mata kepada 11,889.54, Indeks FBMT 100 merosot 49.80 mata kepada 11,567.09 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 24.39 mata kepada 13,165.08,
FBM ACE melonjak 160.64 mata kepada 10,603.76 dan FBM 70 meningkat 3.45 mata kepada 15,683.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 118.10 mata kepada 15,603.72 dan Indeks Perladangan susut 18.52 mata kepada 7,171.20, tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.14 mata kepada 191.96.
— BERNAMA

