KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) — Press Metal Aluminium Holdings Bhd bercadang melaksanakan terbitan bonus sebanyak 4.038 bilion saham biasa baharu pada asas satu bonus saham untuk setiap saham yang dipegang pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Pelebur aluminium terbesar di Asia Tenggara itu berkata cadangan terbitan bonus berkenaan adalah sejajar dengan matlamat bagi menghargai kesetiaan dan sokongan berterusan oleh pemegang saham terbabit.
Dalam kenyataan pada Rabu, kumpulan itu menyifatkan langkah tersebut akan membolehkan pemegang saham mempunyai penyertaan lebih besar dalam ekuiti dari segi jumlah saham serta mengekalkan peratusan ekuiti pegangan mereka.
Ini akan turut menjadikan saham-saham itu lebih berpatutan bagi menarik lebih ramai kelompok pemegang saham dan pelabur yang berpotensi meningkatkan mudah tunai serta kebolehpasaran saham-saham tersebut.
“Kami amat menghargai sokongan pemegang saham, terutamanya ketika tempoh-tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19 ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal, Tan Sri Paul Koon.
Beliau berkata kumpulan itu juga teruja terhadap fasa pertumbuhan baharu tahun ini apabila Fasa 3 pelebur aluminium miliknya di Samalaju, Bintulu, Sarawak, berjaya memulakan pengeluaran pada akhir Disember lepas.
Menurutnya, kemudahan itu akan mencecah kapasiti penuh pada separuh kedua 2021 dan seterusnya meningkatkan kapasiti peleburan sebanyak 42 peratus kepada 1,080,000 tan setahun.
Koon juga menjangkakan langkah pelaburan kumpulan itu dalam PT Bintan Alumina Indonesia akan memberi sumbangan positif apabila Fasa 1 kemudahan tersebut siap menjelang suku kedua tahun ini.
Pada rehat tengah hari Rabu, harga saham Press Metal naik enam sen kepada RM9.70 seunit.
— BERNAMA




