KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia kekal kukuh sepanjang sesi urus niaga pagi Rabu dengan disokong oleh kegiatan belian dalam kaunter berwajaran tinggi, didahului oleh sektor penjagaan kesihatan, kewangan dan telekomunikasi.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.14 mata kepada 1,638.92 daripada 1,624.78 ketika ditutup petang Selasa.
Indeks utama dibuka 4.25 mata lebih tinggi pada sesi pagi kepada 1,629.03 dan bergerak antara 1,628.82 dan 1,640.58 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 707 berbalas 342 manakala 477 kaunter tidak berubah, 669 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.20 bilion unit bernilai RM3.97 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.45 peratus menjadi 28,904.0, Nikkei Jepun 0.01 peratus lebih baik kepada 29,029.45, Indeks Straits Times Singapura menyusut 0.94 peratus kepada 3,079.47 dan Kospi Korea Selatan merosot 0.33 peratus kepada 2,966.42.
Seorang peniaga berkata prestasi saham Asia bercampur-campur pada sesi tengah hari ini selepas diniagakan agak kukuh.
Beliau menambah penurunan hasil bon turut menyaksikan pelabur kembali ke pasaran dan pada masa sama, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman ekuiti AS yang telah pulih.
Walaupun Indeks Purata Dow Jones ditutup pada tahap tertinggi melepasi paras 32,000, Nasdaq melonjak 3.6 peratus, dirangsang oleh beberapa aktiviti pengambilan untung sejak beberapa hari terakhir.
Di pasaran tempatan, Bursa Malaysia tetap bergerak kukuh sepanjang sesi pagi.
“Dengan kebangkitan semula di Nasdaq, peserta pasaran mungkin mengambil pegangan masing-masing dalam sektor teknologi hari ini.
“Untuk kaunter berwajaran tinggi, Top Glove terus mempamerkan prestasi memberangsangkan selepas mengumumkan keputusan kewangan suku kedua yang mantap, sementara saham kewangan turut meningkat selepas aktiviti pengambilan untung semalam,” tambah beliau.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM8.59, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.46, Petronas Chemicals menambah tujuh sen kepada RM8.20 dan Tenaga lebih kukuh sebanyak lapan sen kepada RM10.78, tetapi CIMB tidak berubah pada RM4.65.
Antara kaunter paling cergas, Dagang NeXchange melonjak 16 sen kepada 89 sen sementara warannya meningkat 3.5 sen kepada 38 sen.
Saudee Group naik 23 sen kepada 77 sen sementara warannya meningkat 10.5 sen kepada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 98.94 mata kepada 11,933.91, Indeks FBMT 100 meningkat 92.82 mata kepada 11,634.18 dan Indeks FBM Emas Syariah 116.93 mata lebih tinggi pada 13,139.65.
FBM ACE meningkat 140.68 mata kepada 10,330.40 dan FBM 70 menambah 94.21 mata kepada 15,507.48.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 132.02 mata kepada 15,874.46 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.78 mata menjadi 188.0 tetapi Indeks Perladangan turun 2.18 mata kepada 7,165.50.
– BERNAMA

