KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini lebih kukuh, disokong oleh minat belian ke atas saham berwajaran tinggi, didahului oleh kaunter Top Glove dan telekomunikasi.
Prestasi saham tempatan kekal memberangsangkan walaupun bursa serantau yang lain mempamerkan pergerakan bercampur-campur, mengambil petunjuk daripada prestasi yang sama di Wall Street, kata para peniaga.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.79 mata kepada 1,621.60 daripada 1,611.81 ketika ditutup pada petang Isnin.
Pagi ini, pasaran dibuka 4.18 mata lebih tinggi kepada 1,615.99 dan bergerak antara 1,612.29 dan 1,624.85 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 606 berbalas 486 sementara 454 kaunter tidak berubah, 632 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah sebanyak 4.82 bilion unit bernilai RM2.99 bilion.
Untuk prestasi bursa serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.35 peratus kepada 28,924.92, Nikkei Jepun 0.61 peratus lebih tinggi pada 28,918.03, Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.28 peratus menjadi 3,110.33 tetapi Kospi Korea Selatan merosot 0.97 peratus kepada 2,967.05.
Seorang peniaga berkata saham Asia diniagakan bercampur-campur pada Selasa kerana pakej rangsangan US$1.9 trilion semakin pasti, bagaimanapun, sentimen positif itu telah dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai inflasi dan pandemik COVID-19.
Sementara itu, Bursa Malaysia kekal berada di zon positif sepanjang sesi urus niaga pagi ketika mod pemulihan semakin kuat.
“Kegiatan membeli semasa harga saham murah berterusan walaupun sentimen pasaran kekal berhati-hati dengan tanda-tanda aliran dana asing yang positif ekoran penilaian yang menarik.
“Aktiviti pengambilan untung dalam saham berwajaran tinggi juga muncul terutamanya untuk kaunter kewangan selepas menunjukkan prestasi yang amat baik semalam,” kata beliau.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik satu sen kepada RM4.41, Tenaga meningkat 16 sen kepada RM10.56, Petronas Chemicals turun tujuh sen kepada RM8.28, IHH Healthcare susut enam sen kepada RM5.23 sementara Maybank tidak berubah pada RM8.50 .
Antara saham paling cergas, Sealink turun 4.5 sen kepada 24 sen, Jadi Imaging menambah dua sen kepada 14.5 sen, AirAsia Group naik lapan sen kepada RM1.04, Dagang Nexchange meningkat satu sen kepada 73 sen sementara AirAsia X tidak berubah pada 9.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 86.77 mata kepada 11,810.54, Indeks FBMT 100 meningkat 84.30 mata kepada 11,514.85, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 124.49 mata kepada 13,005.91, FBM ACE naik 15.79 mata kepada 10,241.82 dan FBM 70 melambung 170.08 mata kepada 15,362.57.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 187.58, Indeks Perladangan meningkat 46.70 mata kepada 7,162.49 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 25.28 mata kepada 15,715.28.
– BERNAMA

