KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup rendah petang ini dengan indeks utama menyusut 0.45 peratus, terjejas oleh tekanan aktiviti jualan membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih, didahului oleh Supermax dan Sime Darby.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.19 mata atau 0.45 peratus kepada 1,581.26 daripada 1,588.45 ketika ditutup pada petang Rabu.
Pagi ini, indeks utama dibuka 0.44 mata lebih tinggi kepada 1,588.89 dan bergerak antara 1,577.39 dan 1,590.46 sepanjang sesi urus niaga.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 699 berbalas 445, sementara 433 kaunter tidak berubah, 576 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 9.63 bilion unit bernilai RM5.37 bilion daripada 10.78 bilion unit bernilai RM6.18 bilion sebelumnya.
Prestasi di bursa tempatan juga sejajar dengan sebilangan besar pesaing serantau yang lain kerana sentimen pasaran terganggu oleh kenaikan kadar hasil bon AS, kata seorang peniaga.
Bursa serantau, Nikkei 225 Jepun merosot 2.13 peratus kepada 28,930.11, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 2.15 peratus kepada 29,236.79 sementara Indeks Komposit Shanghai China merosot 2.05 peratus kepada 3,503.49.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus di mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
MPC bank pusat turut berpendapat pendirian dasar monetari sesuai dan akomodatif.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Supermax turun 30 sen kepada RM4.36, Sime Darby dan Genting Bhd masing-masing susut satu sen kepada RM2.29 dan RM4.94, Genting Malaysia merosot lima sen kepada RM2.97 dan Dialog lebih rendah tiga sen kepada RM3.25.
Antara saham paling cergas, Dagang NeXchange dan GFM Services masing-masing naik 2.5 sen kepada 64 sen dan 34 sen, Asian Pac meningkat dua sen kepada 16.5 sen, Minetech naik setengah sen kepada 16.5 sen, Green Ocean tidak berubah pada enam sen dan XOX turun satu sen kepada tujuh sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 50.77 mata kepada 11,620.67, Indeks FBMT 100 susut 49.59 mata kepada 11,316.26, Indeks FBM Emas Syariah merosot 123.19 mata kepada 12,917.06, FBM ACE turun 221.53 mata kepada 10,394.26 dan FBM 70 jatuh 60.36 mata kepada 15,438.99.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.75 mata pada 185.18, Indeks Perladangan turun 12.63 mata kepada 7,149.46 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 154.81 mata kepada 15,187.65.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 5.81 bilion saham bernilai RM4.58 bilion daripada 6.62 bilion saham bernilai RM5.14 bilion pada hari Rabu.
Jumlah dagangan waran lebih rendah kepada 487.12 juta unit bernilai RM83.64 juta daripada 523.02 juta unit bernilai RM72.37 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 3.33 bilion saham bernilai RM709.20 juta daripada 3.63 bilion saham bernilai RM964.11 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 992.79 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.54 bilion), pembinaan (186.63 juta), teknologi (1.04 bilion), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (171.33 juta), hartanah (816.40 juta), perladangan (23.83 juta), REIT (9.61 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (450.20 juta), penjagaan kesihatan (122.39 juta), telekomunikasi dan media (98.08 juta), pengangkutan dan logistik (316.63 juta) dan utiliti (46.06 juta).
— BERNAMA

