KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — CGS-CIMB Research telah mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan antara RM3,200 dan RM3,700 satu tan metrik pada Mac 2021.
Ini berikutan paras inventori rendah yang diunjurkan di Malaysia yang akan mengambil masa untuk dibina semula serta pemulihan bekalan minyak sawit pada suku kedua 2021 apabila keadaan cuaca kembali normal.
Firma penyelidikan itu berkata harga purata MSM meningkat 4.0 peratus bulan ke bulan dan 44 peratus tahun ke tahun kepada RM3,897 satu tan pada Februari dan ini disebabkan kebimbangan terhadap paras inventori minyak sawit dan bekalan minyak boleh dimakan dunia yang rendah.
“Kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas perniagaan tani dengan jangkaan harga purata MSM RM2,900/RM2,700 satu tan untuk unjuran 2021/2022,” katanya dalam satu nota hari ini.
CGS-CIMB Research menganggarkan eksport minyak sawit menyusut 6.0 peratus bulan ke bulan dan 18 peratus tahun ke tahun pada Februari 2021 kepada 0.89 juta tan, didorong oleh harga jualan yang tinggi untuk MSM dan kekurangan bekalan di Malaysia.
“Data daripada juruukur kargo SGS mendedahkan eksport yang lemah ke China dan Amerika Syarikat manakala peningkatan duti import India terhadap MSM boleh menjejaskan permintaan untuk minyak sawit,” tambahnya.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata pengeluaran yang lemah pada Februari terjejas oleh kekurangan tenaga kerja asing dan faktor bermusim.
Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia berkembang 7.6 peratus bulan ke bulan tetapi menyusut 16.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.43 juta tan pada akhir Februari 2021 berikutan kemerosotan dalam pengeluaran berbanding eksport.
“Ini agak menyimpang daripada trend sejarah di mana stok minyak sawit biasanya menurun pada bulan Februari dengan purata 3.0 peratus bulan ke bulan sejak 10 tahun lepas.
“Ini mungkin disebabkan pencatuan permintaan oleh pengguna dan peralihan dalam penyumberan minyak sawit dari Indonesia kerana peningkatan pengeluaran minyak sawit,” katanya.
— BERNAMA

