KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi urus niaga hari ini bercampur-campur dengan aktiviti penjualan yang sederhana.
Bagaimanapun, indeks utamanya kekal dalam zon positif, dirangsang oleh sokongan belian daripada saham sarung tangan.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.03 mata atau 0.58 peratus kepada 1,578.90 daripada 1,569.87 pada penutup hari Selasa.
Indeks utama dibuka 7.03 mata lebih tinggi kepada 1,576.9 dan bergerak antara 1,568.65 dan 1,579.16 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 610 berbalas 460 manakala 393 kaunter tidak berubah, 690 diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah daganga ialah 6.56 bilion unit bernilai RM3.19 bilion.
Antara pengeluar sarung tangan, Top Glove melonjak 25 sen kepada RM5, Hartalega meningkat 43 sen kepada RM9.84 dan Supermax menambah 52 sen kepada RM4.63.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi yang lain, Maybank naik dua sen kepada RM8.10, Petronas Chemicals, TNB dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM7.64, RM10.36 dan RM5.50, Public Bank turun dua sen kepada RM4.20 dan CIMB menyusut satu sen kepada RM4.27.
Saham-saham paling cergas pula, Parkson naik 1.5 sen kepada 20.5 sen, Radiant Global menokok satu sen kepada 39 sen, Kanger International dan XOX tidak berubah pada 10.5 sen dan 8.5 sen, Aimflex turun 3.5 sen kepada 28 sen, EA Holdings lebih rendah setengah sen kepada 3.5 sen dan Dagang Nexchange menyusut dua sen kepada 64.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 35.15 mata kepada 11,611.67, Indeks FBMT 100 meningkat 33.52 mata kepada 11,308.24, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 81.22 mata kepada 12,971.77, FBM ACE menambah 59.20 mata kepada 10,630.56 dan FBM 70 merosot 73.85 mata kepada 15,461.99.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.89 mata kepada 185.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 59.41 mata kepada 14,973.42, dan Indeks Perladangan menyusut 17.32 mata kepada 7,131.96.
– BERNAMA

